SEORANG pelajar Kolej Komuniti Bukit Beruang maut selepas motosikal ditunggangnya bertembung sebuah ambulans swasta di simpang tiga lampu isyarat Ayer Merbau, Jasin hari ini.
Dalam kejadian jam 9.35 pagi itu, mangsa, Muhammad Amirul Asyraaf Md Azizan, 18, disahkan meninggal dunia ketika menerima rawatan di Hospital Jasin.
Ketua Polis Daerah Jasin, Superintendan Lee Robert berkata, kemalangan melibatkan motosikal Yamaha Y16 dan ambulans Toyota Hiace milik Bulan Sabit Merah Melaka.
Katanya, siasatan awal mendapati motosikal ditunggang mangsa dalam perjalanan dari Jasin menghala ke Bemban, manakala ambulans pula dari Ayer Merbau menghala ke Klinik Kesihatan Jasin.
“Setibanya di lokasi, kedua-dua kenderaan bertembung di tengah jalan di simpang berlampu isyarat. Mangsa yang parah dikejarkan ke Hospital Jasin untuk mendapatkan rawatan di Zon Merah sebelum mangsa disahkan meninggal dunia kira-kira jam 10.30 pagi,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Beliau berkata, pemandu ambulans berusia 41 tahun mengalami patah tangan, manakala pembantu perubatan berusia 24 tahun dalam ambulans berkenaan mengalami luka pada lutut.
“Seorang lagi penumpang ambulans, warga emas berusia 81 tahun, tidak mengalami kecederaan,” katanya.
Lee berkata, siasatan awal mendapati kemalangan berlaku apabila pemandu ambulans keluar dari simpang ketika lampu isyarat berwarna merah.
Katanya, polis turut memperoleh rakaman kamera papan pemuka (dashcam) daripada kenderaan yang berada di belakang ambulans bagi membantu siasatan.
“Kedua-dua kenderaan sudah dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Jasin dan akan dihantar ke Puspakom Alor Gajah untuk pemeriksaan,” katanya.
Beliau berkata, mayat mangsa dihantar ke Unit Forensik Hospital Jasin untuk bedah siasat dan kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.





