SURUHANJAYA Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Sabah telah membentangkan lapan syor penambahbaikan tatakelola berkaitan dengan fungsi dan bidang kuasa Jabatan Kerja Raya Negeri Sabah, Jabatan Bendahari Negeri Sabah dan Kementerian Kewangan Negeri Sabah.
Menurut SPRM dalam kenyataan, penyiasatan tatakelola memberi tumpuan terhadap pengurusan Projek Pembinaan Jalan Dua Hala Lintasan Libaran dan Menaiktaraf Jalan Gum-Gum Kecil di Daerah Sandakan yang merupakan projek di bawah Rancangan Malaysia Ke-9 (RMK-9).
‘’Antara syor yang dikemukakan adalah mewujudkan garis panduan yang lengkap dan terperinci berkaitan proses pembayaran kontrak kerja dan pembekalan, menaik taraf dan mengintegrasikan sistem pengurusan tuntutan sedia ada, mewujudkan kod bayaran khusus bagi Akaun Amanah JKR Sabah dan mewujudkan Akaun Amanah di bawah JKR Sabah,’’ kata kenyataan tersebut.
Selain itu, SPRM Sabah turut mengesyorkan penambahbaikan garis panduan sedia ada dengan mewujudkan satu Pekeliling Pentadbiran Kontrak, menambahbaik pelaksanaan penggunaan borang standard JKR Sabah, mewujudkan garis panduan khusus berkaitan pengurusan Akaun Amanah dan mewujudkan Pekeliling Penubuhan dan Tanggungjawab Jawatankuasa Contract Coordinator Panel (CCP) serta Tatacara Pengurusan Projek Sakit dan Pelantikan Kontraktor Penyiap bagi Projek Sakit.
‘’Kesemua syor telah dibentangkan oleh Pengarah SPRM Sabah, Datuk Mohd Fuad Bee Basrah di bilik mesyuarat Kementerian Kewangan Sabah, di Kota Kinabalu, hari ini,’’ kata kenyataan berkenaan.
Sementara itu, Setiausaha Tetap Kementerian Kewangan Negeri Sabah, Datuk Mohd Sofian Alfian Nair; Timbalan Bendahari Negeri Sabah (Pembangunan), Hamdan Hamzani dan Pengarah JKR Sabah, Baharuhom K.K Sogon menyambut baik syor berkenaan dan bersedia untuk meneliti serta mengambil tindakan susulan termasuk mengemas kini garis panduan dan menaik taraf sistem sedia ada.
Persetujuan ini dizahirkan dengan menandatangani Laporan Penambahbaikan Tatakelola disaksikan oleh Mohd Fuad Bee.
Turut hadir Timbalan Pengarah Pencegahan SPRM Sabah, Alexander S. Kunghi; dan Ketua Cawangan Penyiasatan Tatakelola SPRM Sabah, Hamsia Abdul Ham.





