SEORANG anggota Pasukan Polis Marin (PPM) cedera pada jari dan perut selepas terkena tembakan di sebuah pos pengawal marin di Lahad Datu semalam.
Mangsa yang berpangkat lans koperal kini menerima rawatan di hospital dan dilaporkan berada dalam keadaan stabil.
Ketua Polis Daerah Lahad Datu, Asisten Komisioner Dzulbaharin Ismail memaklumkan bahawa pihaknya menerima laporan berhubung kejadian tersebut.
“Dalam kejadian itu, mangsa mengalami kecederaan pada jari tengah tangan kiri dan perut selepas terkena tembakan semasa seorang rakan setugasnya mengosongkan senjata api di lokasi.
“Mangsa telah menerima rawatan awal di Hospital Lahad Datu sebelum dirujuk ke Hospital Tawau bagi mendapatkan rawatan lanjut,” katanya dalam kenyataan malam ini.
Menurut Dzulbaharin, anggota polis berkenaan masih dirawat dan dalam pemantauan lanjut oleh pihak hospital.
Beliau berkata, kes ini disiasat di bawah Seksyen 37 Akta Senjata 1960 iaitu berkaitan kesalahan melepaskan tembakan sehingga mencederakan mana-mana individu.
“Siasatan masih dijalankan bagi mengenal pasti punca kejadian sebenar dan orang ramai dinasihatkan agar tidak membuat sebarang spekulasi berhubung kejadian ini,” katanya.





