Ismail Sabri didakwa gagal isytihar harta RM14 juta, pelbagai mata wang asing dan jongkong emas

BEKAS Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur hari ini atas dakwaan tidak mengisytiharkan harta membabitkan wang berjumlah RM14 juta dan pelbagai mata wang asing lain, lima jongkong emas seberat lima kilogram, sekeping perak dan syiling emas.

Mata wang asing berkenaan terdiri daripada SG$6.1 juta, AS$1.46 juta, CHF3 juta, €12.16 juta , ¥363 juta, £50,250, NZD44,600, Dirham Emiriah Arab Bersatu AED34.7 juta dan AUD$352,850.

Ahli Parlimen Bera itu yang hadir memakai kemeja putih dan kot hitam, tenang sepanjang prosiding, mengaku tidak bersalah selepas tuduhan dibacakan jurubahasa mahkamah di hadapan Hakim Suzana Hussin.

“Faham, tidak mengaku salah dan minta dibicarakan,” katanya, lapor BH.

Ahli Parlimen Bera itu didakwa memberikan satu pernyataan bertulis yang tidak mematuhi terma Notis di bawah Seksyen 36(1)(a) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 bertarikh 7 Januari 2025.

Notis berkenaan telah dihantar kepada beliau oleh seorang pegawai SPRM berpangkat Pesuruhjaya dan yang lebih tinggi pada 10 Januari 2025, iaitu dengan tidak mengisytiharkan harta seperti yang dinyatakan dalam Lampiran A.

Beliau dengan itu melakukan suatu kesalahan yang boleh dihukum di bawah Seksyen 36(2) Akta SPRM, yang membawa hukuman penjara tidak melebihi lima tahun dan didenda tidak melebihi RM100,000.

Media pagi ini melaporkan, lebih 80 penyokong Ismail Sabri berkumpul di pekarangan Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur pagi ini bagi memberi sokongan kepada bekas Perdana Menteri itu.

Seorang penyokong yang ingin dikenali sebagai Liza, 42, berkata mereka terdiri daripada penduduk Bera, Pahang yang bertolak menaiki dua bas sejak jam 4 pagi tadi. Difahamkan, kebanyakan mereka adalah ahli UMNO Bahagian Bera.

“Seawal jam 3 pagi kami sudah bersiap dari rumah sebelum bergerak ke ibu negara.

“Kami tiba kira-kira jam 7 pagi tadi selepas perjalanan hampir tiga jam menaiki bas. Ada juga yang memandu sendiri kenderaan ke sini. Semuanya demi memberikan sokongan moral kepada wakil rakyat kami,” katanya ketika ditemui media.



IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB :
Utusan Melayu Plus
IG:
Utusan Melayu Plus
TikTok:
@utusanmelayuplusofficial
Threads:
@utusanmelayuplus
Whatapps Channel:
Utusan Melayu Plus


Terkini

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here