Juruteknik mengaku tidak bersalah buat hantaran video jelik di TikTok

SEORANG juruteknik mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Sepang hari ini atas pertuduhan membuat dan memulakan hantaran video jelik menerusi akaun TikTok miliknya pada Januari lalu.

Mohamad Norfirdaus Abdul Rahman, 29, selaku orang kena saman (OKS) didakwa membuat dan memulakan hantaran komunikasi dengan niat menyakiti hati orang lain di TikTok menerusi akaun “nowad.acc4” pada 12 Januari lalu.

Hantaran itu kemudian dilihat di Menara 1, Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) di Cyberjaya pada jam 1.30 petang 23 Januari.

Dia didakwa mengikut Seksyen 233(1)(a) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 233(2) akta sama yang membawa hukuman denda maksimum RM500,000 atau penjara dua tahun atau kedua-duanya dan dikenakan denda selanjutnya RM5,000 bagi setiap hari kesalahan itu diteruskan selepas sabitan, jika sabit kesalahan.

Pegawai Pendakwa MCMC, Mohamad Azmir Mohd Razali mencadangkan jaminan RM10,000 dengan seorang penjamin dikenakan ke atas OKS.

Bagaimanapun peguam ‘Azi ‘Azlin Zulkifli memohon jaminan rendah RM3,000 kerana anak guamnya bekerja sebagai juruteknik berpendapatan rendah selain menanggung kedua ibu bapa yang masing-masing berusia lingkungan 50-an.

Hakim Ahmad Fuad Othman membenarkan jaminan RM6,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan 7 Oktober depan untuk sebutan semula kes. OKS kemudian membayar jaminan tersebut.

 



IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB :
Utusan Melayu Plus
IG:
Utusan Melayu Plus
TikTok:
@utusanmelayuplusofficial
Threads:
@utusanmelayuplus
Whatapps Channel:
Utusan Melayu Plus


Terkini

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here