SEORANG lelaki dikhuatiri hilang selepas bot dinaikinya terbalik di perairan Pulau Tenggol, Dungun, semalam.
Mangsa, Sabrie Rusli, 32, dilaporkan hilang selepas kejadian yang dipercayai berlaku kira-kira jam 5 petang di lokasi kira-kira enam batu nautika ke timur laut Kuala Dungun.
Operasi mencari dan menyelamat (SAR) digerakkan bagi mengesan mangsa yang kali terakhir dilihat memakai kemeja-T berlengan panjang berwarna kelabu dan putih.
Pusat Kecil Mencari dan Menyelamat Maritim (MRSC) Kuantan menerima maklumat berhubung kejadian menerusi panggilan kecemasan 999 pada jam 6.10 petang sebelum aset SAR digerakkan ke lokasi.
Operasi SAR memasuki hari kedua pagi ini dengan pencarian meliputi kawasan seluas 58.6 batu nautika persegi di sekitar perairan Pulau Tenggol.
Antara aset yang terbabit dalam operasi berkenaan ialah Bot Perkasa 49 dan KM Jujur milik Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM), selain pesawat CL-415 bagi membantu pencarian dari udara.
Usaha mengesan mangsa masih diteruskan dengan memberi tumpuan di sekitar lokasi kejadian serta kawasan yang dikenal pasti berpotensi.
Pihak berkuasa turut meneruskan pencarian bagi memastikan mangsa dapat ditemukan.





