LIMA ahli kumpulan Geng Lakino Garuda mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret Kuantan, hari ini, atas pertuduhan memiliki harta curi berupa tujuh gulung kabel pada Jun lalu.
Tertuduh, Teo Soon Wei, 36, yang juga warga tempatan, bersama empat warga Indonesia iaitu Roy Padri, 26; Sare Tamanto, 35; Larino, 41; dan Supono, 56, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Tuan Ruzuaini Tuan Lah.
Berdasarkan kertas pertuduhan, mereka didakwa secara bersama dengan tidak jujur memiliki harta curi iaitu tujuh gulung kabel.
Kesalahan itu didakwa dilakukan di semak tepi pagar kawasan projek solar di negeri ini kira-kira jam 4.30 petang, 28 Jun lalu.
Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 411 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga lima tahun atau denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.
Timbalan Pendakwa Raya Muhammad Najmi Zaki Amer Suhaimi mencadangkan jaminan RM7,000 kepada Teo dan tiada jaminan kepada empat warga asing berkenaan kerana tidak memiliki sebarang dokumen sah untuk tinggal di Malaysia.
Semua warga asing terbabit diwakili peguam Azrul Hakimi Ramli, manakala Teo diwakili peguam Tok Hong Chen.
Mahkamah kemudian membenarkan Teo diikat jamin RM4,500 dan menetapkan 1 Oktober depan untuk sebutan semula kes.
Di mahkamah sama, empat warga Indonesia terbabit turut mengaku tidak bersalah atas pertuduhan masuk ke Malaysia tanpa sebarang pas atau permit yang dikeluarkan secara sah.
Bagi kesalahan itu, mereka didakwa mengikut Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 yang memperuntukkan hukuman denda tidak lebih RM10,000 atau penjara tidak lebih lima tahun atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.
Mahkamah menetapkan tarikh sama untuk serahan dokumen, lapor Harian Metro.





