KPDN rampas 1,080 tong LPG, dua warga asing ditahan

KEGIATAN memindahkan gas petroleum cecair (LPG) ke tong komersial atau decanting terbongkar selepas sebuah premis di kawasan perindustrian kecil di daerah Seremban diserbu Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Negeri Sembilan, semalam.

Dalam serbuan kira-kira jam 6 petang itu, sebanyak 1,080 tong LPG pelbagai kapasiti bersama sebuah kenderaan yang dipercayai mempunyai kaitan dengan kegiatan berkenaan dirampas.

Pengarah KPDN Negeri Sembilan, Muhammad Zahir Mazlan berkata, serbuan dilakukan susulan hasil pemantauan pasukan penguat kuasa yang mengesan aktiviti penyelewengan barang kawalan LPG.

“Serbuan kemudiannya dilakukan dan dua lelaki warga asing berusia lingkungan 20-an ditahan di lokasi untuk tindakan lanjut.

“Pemeriksaan turut menemukan sebanyak 1,080 tong LPG pelbagai kapasiti serta sebuah kenderaan yang dipercayai mempunyai kaitan dengan aktiviti berkenaan,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Menurutnya, nilai keseluruhan rampasan dianggarkan RM300,000.

Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 21 Akta Kawalan Bekalan 1961 [Akta 122] dibaca bersama Peraturan 3(1) Peraturan-Peraturan Kawalan Bekalan 1974.

“Jika disabitkan kesalahan, individu boleh dikenakan denda tidak melebihi RM1 juta atau penjara selama tempoh tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya sekali bagi kesalahan pertama.

“Bagi kesalahan kedua dan berikutnya, individu boleh dikenakan denda tidak melebihi RM3 juta atau penjara selama tempoh tidak melebihi lima tahun atau kedua-duanya sekali,” katanya.

Muhammad Zahir berkata, KPDN Negeri Sembilan tidak akan berkompromi terhadap mana-mana pihak yang terbabit dalam aktiviti penyelewengan dan penyalahgunaan barang kawalan, khususnya LPG.

“Tindakan penguatkuasaan akan terus dipergiatkan bagi memastikan bekalan barang kawalan sentiasa mencukupi dan dapat dinikmati oleh pengguna pada harga serta saluran yang terkawal,” katanya.



IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB :
Utusan Melayu Plus
IG:
Utusan Melayu Plus
TikTok:
@utusanmelayuplusofficial
Threads:
@utusanmelayuplus
Whatapps Channel:
Utusan Melayu Plus


Terkini

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here