SEORANG lelaki yang dipercayai mencetuskan kekecohan dan melakukan provokasi ketika sambutan Hari Kebangsaan di Dataran Putrajaya pada 31 Ogos lalu direman sehari bagi membantu siasatan polis.
Lelaki berusia 30 tahun itu yang merupakan tukang masak turut disiasat kerana hasil ujian air kencing mendapati dia positif dadah.
Perintah tahanan reman itu dikeluarkan Majistret Ezrene Zakariah di Mahkamah Majistret Putrajaya hari ini selepas membenarkan permohonan Polis Diraja Malaysia (PDRM).
Ketua Polis Daerah Putrajaya, Asisten Komisioner Aidi Sham Mohamed berkata, suspek berusia 30 tahun itu hadir menyerah diri di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Putrajaya pada jam 12.15 tengah malam tadi.
Menurutnya, polis menerima lima laporan berkaitan kejadian provokasi berkenaan, manakala tujuh rakaman percakapan saksi telah diambil bagi membantu siasatan.
“Ujian air kencing yang dijalankan terhadap suspek mendapati dia positif dadah jenis THC.
“Siasatan turut dijalankan di bawah Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952,” katanya dalam kenyataan pada Rabu.
Katanya, suspek turut disiasat mengikut Seksyen 505(b) Kanun Keseksaan, Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 serta Seksyen 14 Akta Kesalahan Kecil 1955.





