Ubat jantung: Pemandu bas ekspres mengantuk hilang kawalan langgar penghadang

SEORANG pemandu bas dipercayai mengantuk akibat pengaruh ubat jantung gagal mengawal kenderaan itu menyebabkan ia hilang kawalan lalu melanggar penghadang tengah di Kilometer 328.3 Lebuhraya Utara-Selatan (PLUS) arah utara dekat Tapah hari ini.

Ketua Polis Daerah Tapah, Superintenden Abdul Malik Hasim berkata, pihaknya menerima maklumat kira-kira jam 12.30 tengah hari berhubung kejadian itu.

Menurutnya, siasatan awal polis mendapati kejadian berlaku ketika bas terbabit dalam perjalanan dari Kajang ke Kulim tanpa membawa penumpang.

“Sebaik sahaja tiba di tempat kejadian, bas yang dipandu di lorong kanan itu dipercayai hilang kawalan lalu melanggar sehingga ternaik ke atas penghadang lebuh raya.

“Pemandu bas dilaporkan tidak mengalami kecederaan tetapi telah dibawa ke Hospital Tapah untuk rawatan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Abdul Malik berkata, doktor di Wad Kecemasan kemudian mengesahkan pemandu bas itu memandu di bawah pengaruh ubat jantung yang menyebabkannya mengantuk.

Beliau berkata, hasil pemeriksaan lanjut juga mendapati pemandu bas itu adalah pesakit luar yang dirujuk di bawah Klinik Kesihatan Kuala Ketil, Kedah.

“Bas itu hanya mengalami kerosakan di bahagian hadapan dan bawah kenderaan akibat tersangkut di atas penghadang lebuh raya.

“Kes ini diklasifikasikan di bawah Peraturan 10 Kaedah-Kaedah Lalu Lintas Jalan 1959,” katanya.

Beliau berkata, orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung kejadian itu diminta menghubungi Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tapah di talian 05-401 1222 atau pegawai penyiasat trafik, Inspektor Muhammad Najmuddin Zulkarnain di 017-325 6140 bagi membantu siasatan.

Terdahulu, tular satu rakaman video memaparkan bas itu dilihat dipandu dalam keadaan tidak terkawal sebelum melanggar penghadang jalan.

 

 



IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB :
Utusan Melayu Plus
IG:
Utusan Melayu Plus
TikTok:
@utusanmelayuplusofficial
Threads:
@utusanmelayuplus
Whatapps Channel:
Utusan Melayu Plus


Terkini

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here