TIGA penumpang cedera selepas bas ekspres membawa 12 penumpang terbabas akibat mengelak sebuah lori yang bergerak perlahan di Kilometer 177.6 Lebuhraya Utara-Selatan (PLUS) arah utara dekat Jasin awal pagi tadi.
Kejadian berlaku kira-kira jam 5 pagi ketika bas berkenaan dalam perjalanan dari Singapura menuju Kuala Lumpur.
Ketua Polis Daerah Jasin, Superintenden Lee Robert berkata, siasatan mendapati sebuah lori di hadapan bas yang memperlahankan kelajuannya.
“Pemandu bas cuba mengelak daripada melanggar lori berkenaan sebelum terbabas ke kiri jalan,” katanya.
Beliau berkata, pemandu bas berusia 31 tahun tidak mengalami kecederaan, manakala seorang penumpang lelaki berusia 59 tahun yang juga pemandu pelancong cedera di kaki dan menerima rawatan di zon hijau Hospital Jasin.
“Dua lagi penumpang wanita masing-masing berusia 62 dan 46 tahun mengalami kecederaan di kepala dan turut menerima rawatan di hospital sama.
“Lapan lagi penumpang tidak mengalami kecederaan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Menurutnya, polis membuka siasatan mengikut Seksyen 43(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.





