MAHA 2026 : Laman Sayur bawa pengunjung intai masa depan pertanian

BUKAN semua sayur perlu bergantung kepada hujan dan panas, malah ada yang boleh ditanam dalam bangunan menerusi teknologi plant factory yang dipamerkan di Laman Sayur sempena Pameran Pertanian, Hortikultur dan Agropelancongan Malaysia (MAHA) 2026.

Pengarah Pusat Penyelidikan Hortikultur MARDI, Dr Rozeita Laboh berkata, Laman Sayur yang turut menampilkan Laman Herba dan Laman Kelulut memberi peluang kepada pengunjung melihat sendiri teknologi serta inovasi pertanian yang dibangunkan Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI).

Katanya, antara tarikan utama ialah teknologi plant factory yang membolehkan sayuran bernilai tinggi seperti kailan dan salad ditanam secara indoor dalam persekitaran terkawal.

Pengarah Pusat Penyelidikan Hortikultur MARDI, Dr Rozeita Laboh.

“Di Laman Sayur, kita memang ada menunjukkan teknologi-teknologi dan inovasi yang melibatkan sayuran itu sendiri seperti sistem penanaman, seperti plant factory.

“Kita mengawal semua elemen persekitaran seperti cahaya, suhu, oksigen, dan karbon dioksida selain pembajaan untuk menghasilkan sayuran yang berhasil,” katanya ketika ditemui utusanmelayuplus di MAHA 2026.

Menurutnya, kaedah berkenaan membolehkan tanaman dihasilkan sepanjang tahun tanpa terlalu bergantung kepada perubahan cuaca seperti hujan dan suhu.

Selain itu, katanya, pengunjung boleh mendapatkan penerangan mengenai perosak dan penyakit tanaman menerusi pameran ECO Agrocare yang turut disertai pakar untuk memberikan panduan secara terus.

“Di situ (ECO Agrocare), kita real life di mana pakar akan berada di tempat tersebut dan pengunjung boleh bertanya dengan lebih terperinci,” ujarnya.

Dr Rozeita berkata, Laman Sayur turut mengetengahkan teknologi cantuman tomato dengan terung liar bagi membantu mengatasi penyakit layu bakteria yang sering menyerang tanaman tomato di tanah rendah.

Katanya, inovasi berkenaan memanfaatkan keserasian antara terung liar dengan tomato bagi menghasilkan tanaman yang lebih tahan terhadap serangan penyakit.

Dalam pada itu, pengunjung turut boleh meneroka House of Chili yang memaparkan sejarah dan kepelbagaian cili, termasuk kira-kira 30 jenis cili untuk salad serta masakan.

Menariknya, pengunjung turut diberi peluang mencuba sendiri aktiviti menggiling cili, sekali gus menghidupkan pengalaman tradisional yang semakin jarang dilakukan.

“Pengalaman menggiling cili dan kebanyakan pengunjung sangat suka, teruja sebab itu adalah tradisi Melayu daripada zaman-zaman dahulu.

“Laman Sayur turut menyediakan ruang jualan hasil penyelidikan MARDI serta benih tanaman, selain maklumat berkaitan nutrisi sayuran melalui kerjasama dengan agensi strategik,” katanya.

Penganjuran MAHA yang berlangsung dua tahun sekali menjadi peluang untuk MARDI mendekatkan hasil penyelidikan dan teknologi pertanian dengan masyarakat.

“Selain daripada mendapat maklumat teknologi, tuan-tuan dan puan-puan pengunjung juga boleh membeli sebagai buah tangan daripada MAHA kali ini,” katanya.

MAHA 2026 berlangsung sehingga 6 September di Taman Ekspo Pertanian Malaysia (MAEPS), dengan penyertaan kira-kira 2,000 pempamer dan sasaran lebih 4 juta pengunjung sepanjang penganjurannya. 

 



IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB :
Utusan Melayu Plus
IG:
Utusan Melayu Plus
TikTok:
@utusanmelayuplusofficial
Threads:
@utusanmelayuplus
Whatapps Channel:
Utusan Melayu Plus


Terkini

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here