Dapatan RCI Tabung Haji cetus rasa déjà vu – Nurhisham

ISU membabitkan Lembaga Tabung Haji (TH) dan FGV Holdings Bhd seolah-olah mengikut corak serupa, sambil mengakui ia mewujudkan perasaan déjà vu berhubung laporan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) berkaitan dana jemaah haji itu.

Penasihat Ekonomi dan Kewangan di Pejabat Perdana Menteri (PMO) Nurhisham Hussein berkata, aset dana jemaah itu dibeli tanpa cagaran mencukupi, pada harga melambung tinggi serta tanpa penelitian wajar secukupnya.

NURHISHAM Hussein (kiri) sebagai ahli panel dalam sesi dialog bertajuk “Dialog Ummah: Realiti dan Masa Depan Tabung Haji” anjuran Himpunan Gerakan Islam Malaysia (HIKAM) di Bangi hari ini. Turut hadir, Datuk Seri Dr Mujahid Yusof Rawa (tengah) dan moderator Nizal Mohammad

“Apabila baca laporan RCI itu, saya ada rasa sedikit déjà vu. Ia hampir sama dengan apa yang berlaku dengan FGV. Isu-isu yang timbul adalah sama,” katanya.

Nurhisham berkata demikian dalam sesi dialog bertajuk “Dialog Ummah: Realiti dan Masa Depan Tabung Haji” anjuran Himpunan Gerakan Islam Malaysia (HIKAM) di Bangi hari ini, lapor FMT.

Program tersebut dihadiri hampir 700 pendeposit TH dan turut menampilkan barisan panel utama seperti Pengerusi Lembaga Tabung Haji, Tan Sri Abdul Rashid Hussain.

FGV Holdings merupakan anak syarikat Felda, yang mana kegagalan pentadbiran terdahulunya memaksa Kerajaan Persekutuan menanggung bayaran balik hutang hampir RM1 bilion setiap tahun.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada Julai lalu mendedahkan perkara itu dan berkata, Felda berdepan kerugian hampir RM10 bilion akibat salah urus serta campur tangan politik yang keterlaluan.

Beberapa pendeposit sebelum ini menyuarakan kebimbangan sama ada kerajaan mampu menanggung beban berkenaan susulan pendedahan laporan RCI mengenai salah urus kewangan di TH.

Nurhisham berkata, semua perkara ini (isu laporan RCI TH) seolah-olah menunjukkan corak yang sama (seperti insiden di FGV Holdings).

Beliau bagaimanapun menegaskan, Malaysia ‘bukan Argentina atau Greece’, merujuk krisis hutang teruk yang pernah melanda kedua-dua negara itu.

“Kerajaan Malaysia tidak pernah culas melunaskan obligasi kewangan kita. Kita sentiasa bayar (hutang),” katanya.

Beliau turut ditanya mengenai sukuk asal terbitan Urusharta Jamaah Sdn Bhd yang berstruktur kupon sifar, iaitu instrumen yang tidak memberikan pulangan tahunan kepada TH.

Nurhisham bagaimanapun menjelaskan, selepas sukuk berkenaan matang, ia digantikan dengan sukuk baharu yang menawarkan komponen keuntungan tahunan.

Laporan RCI itu merumuskan gabungan komitmen hibah yang berlebihan, amalan perakaunan meragukan, kelemahan pengawasan, strategi pelaburan terlalu bercita-cita tinggi, serta peningkatan beban subsidi meletakkan tekanan kewangan yang ketara ke atas TH antara 2014 dan 2020.

 



IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB :
Utusan Melayu Plus
IG:
Utusan Melayu Plus
TikTok:
@utusanmelayuplusofficial
Threads:
@utusanmelayuplus
Whatapps Channel:
Utusan Melayu Plus


Terkini

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here