ANGKATAN Muda Keadilan (AMK) mengecam tindakan Ketua Penerangan Pergerakan Puteri UMNO dalam aplikasi Threads yang didakwa melabel Nurul Izzah Anwar dengan gelaran berunsur fitnah dan penghinaan menerusi satu hantaran di media sosial.
Exco AMK, Atillah Sani berkata, perbezaan politik tidak seharusnya dijadikan alasan untuk melemparkan tuduhan keji, terutama apabila melibatkan isu peribadi dan seksual.
“Perbezaan politik bukan lesen untuk sesiapa sahaja melemparkan tuduhan keji, apatah lagi menggunakan isu peribadi dan seksual sebagai senjata politik.
“Ini bukan lagi soal siapa menyokong parti mana, tetapi soal maruah, adab dan tanggungjawab dalam berpolitik,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Menurut Atillah, individu yang memegang jawatan dalam sayap politik sepatutnya menunjukkan kematangan serta disiplin ketika berkomunikasi, bukannya mengheret politik negara kepada serangan peribadi.
Beliau berkata, tindakan sedemikian hanya mencerminkan budaya politik yang tidak sihat apabila maruah seseorang dianggap boleh dipijak hanya kerana perbezaan fahaman politik.
Sehubungan itu, katanya, AMK akan membuat laporan polis berhubung hantaran berkenaan dan menyerahkan kepada pihak berkuasa untuk menjalankan siasatan serta mengambil tindakan sewajarnya mengikut undang-undang.
“AMK tidak akan berdiam diri apabila maruah seseorang dijadikan bahan permainan politik. Kita boleh berbeza pandangan. Kita boleh bertikam lidah soal dasar. Tetapi jangan sampai hilang akal dan hilang maruah,” tegas beliau.





