Remaja lelaki hilang ketika cari ketam batu ditemukan lemas

SEORANG remaja lelaki yang dikhuatiri hilang dihanyutkan ombak ketika mencari ketam batu di kawasan tambakan laut Pantai Klebang di Melaka petang semalam, ditemukan lemas malam ini.

Mayat Muhammad Arif Daniel Nizamuddin, 16, ditemukan nelayan jam 7.20 malam ini, lebih 24 jam selepas hilang, pada kedudukan dua batu nautika dari daratan.

Penolong Pengarah Bahagian Operasi Kebombaan dan Penyelamatan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Melaka, Mohd Shahrom Laji berkata, mayat remaja itu  ditemukan oleh nelayan berhampiran Pulau Upeh.

“Pada jam 8.30 malam, pengecaman mangsa telah dijalankan oleh pihak waris. Seterusnya, mangsa diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan selanjutnya,” katanya dalam kenyataan malam ini.

Media hari ini melaporkan, seorang remaja lelaki dikhuatiri hilang dipercayai dihanyutkan ombak ketika keluar mencari ketam batu bersama sekumpulan rakannya di kawasan tambakan laut Pantai Klebang di Melaka.

Ketua Polis Daerah Melaka Tengah, Asisten Komisioner Halim Abas dilaporkan berkata, pihaknya menerima laporan kehilangan mangsa yang merupakan pelajar Institusi Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) di mana remaja itu dikatakan ke pantai berkenaan bersama rakan lain.

Mohd Shahrom berkata, pihak bomba menerima panggilan kecemasan pada jam 3.03 petang semalam sebelum menggerakkan 25 anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Melaka Tengah serta bantuan BBP Masjid Tanah ke lokasi.

“Pasukan Penyelamat Di Air (PPDA) melaksanakan pencarian sebanyak dua kali menggunakan kaedah solo dive serta teknik pencarian arc pattern pada jarak 30 meter dari persisiran pantai.

“Pasukan bomba turut meneruskan pencarian di celah-celah batu di pesisiran pantai,” katanya.

Beliau berkata, operasi pencarian ditangguhkan pada jam 10.30 malam tadi dan disambung semula pada jam 8 pagi ini.

 

 



IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB :
Utusan Melayu Plus
IG:
Utusan Melayu Plus
TikTok:
@utusanmelayuplusofficial
Threads:
@utusanmelayuplus
Whatapps Channel:
Utusan Melayu Plus


Terkini

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here