Kes juruterbang Malaysia seludup dadah: Polis buat beberapa tangkapan baharu

KEMENTERIAN Dalam Negeri (KDN) mengesahkan beberapa tangkapan baharu dilakukan pihak polis bagi membantu siasatan kes seorang juruterbang Malaysia yang ditahan pihak berkuasa Indonesia kerana disyaki cuba menyeludup dadah bernilai RM45 juta pada penghujung Julai lalu.

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, tindakan pantas Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik, Ibu Pejabat Polis Bukit Aman berjaya membawa kepada beberapa tangkapan baharu dalam kes berkenaan.

“Saya memberi kredit kepada pasukan polis, khususnya Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik kerana cepat bertindak, kemudian berjaya melakukan beberapa tangkapan baharu.

“Jabatan itu juga sedang bekerjasama dengan pihak berkuasa negara jiran,” katanya.

Saifuddin berkata demikian dalam sidang media selepas menyempurnakan Majlis Penyerahan Projek Markas Pasukan Polis Marin (PPM) Wilayah Tiga Tok Bali di Pasir Puteh hari ini, lapor Buletin TV3.

Pada 29 Julai lalu, seorang juruterbang warga Malaysia berusia 39 tahun ditahan di Terminal 3 Ketibaan Antarabangsa Lapangan Terbang Antarabangsa Soekarno-Hatta di Tangerang, Banten selepas tiba dari Kuala Lumpur dengan menaiki penerbangan MH727.

Penahanan dibuat pada jam 11.30 malam waktu tempatan selepas pegawai kastam Indonesia mengesan bagasi milik juruterbang berkenaan yang mencurigakan menerusi imbasan sinar-X, sebelum mengarahkannya ke bilik pemeriksaan sebaik bagasi itu dituntut.

Pemeriksaan lanjut menemukan 14 bungkusan mengandungi 70,114 pil ekstasi seberat kira-kira 25 kilogram dalam bagasi berkenaan, selain empat gram syabu dalam barang bawaannya, dengan nilai dianggarkan RM45 juta.

Menurut polis Indonesia, juruterbang berkenaan didakwa dijanjikan bayaran RM50,000 untuk membawa dadah itu ke Jakarta sebelum ia diambil individu lain di sebuah hotel.

 



IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB :
Utusan Melayu Plus
IG:
Utusan Melayu Plus
TikTok:
@utusanmelayuplusofficial
Threads:
@utusanmelayuplus
Whatapps Channel:
Utusan Melayu Plus


Terkini

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here