SEORANG pelajar Universiti Teknologi Mara (UiTM) Lendu dan pemandu lori maut selepas motosikal yang ditunggang mereka masing-masing bertembung di Jalan Gapam dekat Jasin malam tadi.
Dalam kejadian kira-kira jam 11.30 malam itu, pelajar UiTM Lendu, Muhammad Thoriq Thani Ahmad Azam, 21, dan pemandu lori syarikat kurier, Md Samsul Mat Halif, 41, disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian akibat kecederaan parah.
Ketua Polis Daerah Jasin, Superintenden Lee Robert berkata, kemalangan membabitkan motosikal Yamaha Lagenda 110Z yang ditunggang Muhammad Thoriq dari arah Bemban menghala ke Ayer Keroh dan Honda Dash 125 yang ditunggang Md Samsul dari arah bertentangan.
Menurut beliau, siasatan awal mendapati kemalangan berlaku ketika motosikal ditunggang Md Samsul dipercayai sedang memotong kenderaan di hadapan.
“Namun motosikal ditunggang Md Samsul masuk ke laluan bertentangan sebelum bertembung dengan motosikal Muhammad Thoriq yang sedang bergerak lurus di laluannya.
“Akibat kemalangan itu, kedua-dua mangsa mengalami kecederaan parah di kepala dan badan sebelum disahkan meninggal dunia di tempat kejadian,” katanya.





