Aktivis direman, bantu siasatan hantaran TikTok bersifat hasutan

SEORANG aktivis lelaki direman dua hari bagi membantu siasatan berhubung satu hantaran di TikTok yang bersifat hasutan berkaitan isu perobohan sebuah kuil Hindu di Bukit Lagi, Kangar.

Ketua Polis Daerah Kangar, Asisten Komisioner Yusharifuddin Mohd Yusop berkata, lelaki berusia 55 tahun itu ditahan di Petaling Jaya semalam.

“Polis menerima sebanyak 15 laporan, termasuk satu laporan utama dan 14 laporan bersangkut, berhubung satu hantaran di aplikasi TikTok yang berkaitan dengan penganjuran satu ‘Perhimpunan Merah’ di Tapak Sri Veera Maha Kaliamman Kovil, Bukit Lagi, Kangar.

“Hasil semakan ke atas hantaran tersebut mendapati penganjuran perhimpunan ini adalah untuk mempertahankan hak dan tempat ibadat bagi agama Hindu, selain mengajak masyarakat berhimpun dengan doa, keamanan dan solidariti,” katanya dalam kenyataan hari ini, lapor Buletin TV3.

Beliau berkata, hantaran berkenaan memaparkan penganjuran Perhimpunan Merah Maha Kali di Tapak Sri Veera Maha Kaliamman Kovil, Bukit Lagi, Kangar pada 30 Ogos lalu.

Menurut Yusharifuddin, hasil pemprofilan yang dijalankan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) mengesahkan pemilik akaun TikTok berkenaan ialah lelaki itu yang juga seorang jururunding.

“Suspek telah ditahan di Petaling Jaya pada 3 September 2026 (semalam) jam 10 pagi bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 4(1) Akta Hasutan 1948 dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.

“Polis turut merampas sebuah telefon bimbit dan satu kad SIM bagi membantu siasatan,” katanya.

Ujar beliau, suspek kini direman selama dua hari bermula hari ini hingga esok.

Sebelum ini, Menteri Besar Perlis, Abu Bakar Hamzah berkata, tindakan merobohkan Kuil Veeramakaliamman dibuat selepas pihak terbabit gagal mematuhi peruntukan undang-undang.

 



IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB :
Utusan Melayu Plus
IG:
Utusan Melayu Plus
TikTok:
@utusanmelayuplusofficial
Threads:
@utusanmelayuplus
Whatapps Channel:
Utusan Melayu Plus


Terkini

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here