DATUK Seri Anwar Ibrahim meminta Kementerian Kewangan (MoF) dan Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) menyelesaikan isu kelewatan pembayaran kepada kontraktor menerusi perbincangan secara baik.
Menurut Perdana Menteri, kedua-dua kementerian perlu berbincang bagi menyelesaikan isu berkenaan, susulan perkara itu diperdebatkan secara terbuka antara kedua-dua kementerian.
“Kita bincang secara baik. Saya minta kementerian bincang, dua-dua kementerian dengan baik,” ujarnya ringkas ketika ditemui media selepas menunaikan solat Jumaat di Masjid Bukit Indah di Ampang hari ini, lapor FMT.
Media sebelum ini melaporkan, isu kelewatan pembayaran yang menjejaskan kelangsungan operasi kontraktor dibangkitkan Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi.
Ahmad Zahid dilaporkan berkata, masih ada sebilangan kontraktor yang sudah melaksanakan kerja di bawah KKDW dan mencapai kemajuan ditetapkan mengikut kontrak pembangunan, termasuk projek Jalan Luar Bandar (JALB), berdepan kelewatan bayaran daripada kerajaan.
Menurutnya, keadaan itu memberi kesan lebih besar apabila kontraktor berdepan masalah aliran tunai, termasuk ada yang terpaksa menutup operasi, selain disaman pembekal bahan dan subkontraktor.
Bagaimanapun, isu itu menjadi perhatian apabila dibincangkan secara terbuka, dan bukannya menerusi mesyuarat Kabinet.





