MALAYSIA akan menghantar Pasukan Mencari dan Menyelamat Khas Malaysia (SMART) ke Nepal, seawal esok selepas menerima kelulusan rasmi kerajaan negara itu bagi membantu operasi mencari dan menyelamat di kawasan terjejas akibat banjir dan tanah runtuh, baru-baru ini.
Kementerian Luar dalam kenyataan memaklumkan, pasukan 11 anggota itu akan dilengkapi dron berkeupayaan tinggi serta peralatan khusus bagi menyokong operasi diketuai pihak berkuasa Nepal di kawasan yang memerlukan kepakaran teknikal dan keupayaan operasi khas.
“Penghantaran pasukan itu tertakluk kepada keperluan operasi dan tahap keselamatan,” menurut kenyataan kementerian itu malam ini.
Kementerian Luar turut memaklumkan seramai 55 rakyat Malaysia masih dilaporkan gagal dihubungi setakat hari ini.





