AGENSI Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Zon Batu Pahat merampas lebih 600 kartrij vape disyaki mengandungi cecair dadah jenis ‘Piu Piu’ bernilai RM160,000 dalam operasi penguatkuasaan di perairan Senggarang, di sini, semalam.
Pengarah APMM Zon Batu Pahat, Komander Maritim Mohammad Zaini Zainal berkata, rampasan dilakukan selepas pihaknya mengesan sebuah bot fiber dalam keadaan mencurigakan ketika bot peronda APMM menjalankan rondaan di perairan berkenaan.
Menurutnya, suspek bertindak melarikan diri bersama bot fiber terbabit selepas menyedari kehadiran bot peronda.
“Hasil pemeriksaan lanjut di lokasi mendapati terdapat sebuah beg berwarna hitam yang mengandungi lebih 600 kartrij vape disyaki dadah jenis ‘Piu Piu’ bernilai RM160,000.
“Kesemua barang rampasan kemudiannya dibawa ke Ibu Pejabat APMM di Batu Pahat untuk tindakan dan siasatan lanjut,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata, sampel cecair vape berkenaan akan dihantar untuk analisis makmal bagi mengesahkan kandungan bahan yang disyaki sebagai dadah.





