Tukang urut wanita maut terjatuh dari tingkat 4 ketika cuba lari pemeriksaan

SEORANG tukang urut wanita warga asing maut selepas terjatuh dari tingkat empat sebuah rumah kedai di Bandar Baru Permas Jaya, Masai, Johor Bahru, ketika dipercayai cuba melarikan diri daripada pemeriksaan pihak berkuasa, kelmarin.

Timbalan Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan, Superintendan Ng Swie Chait berkata, pihaknya menerima laporan berhubung kejadian itu pada jam 3.48 petang.

“Siasatan awal mendapati wanita warga asing berusia 36 tahun itu dipercayai terjatuh dari tingkat empat ketika cuba melarikan diri semasa pemeriksaan oleh Majlis Bandaraya Johor Bahru (MBJB) di premis tempat dia bekerja.

“Mangsa ditemui di belakang bangunan rumah kedai berkenaan dalam keadaan tertiarap dan mengalami pendarahan di kepala,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata, mayat mangsa dihantar ke Jabatan Forensik Hospital Sultan Ismail (HSI) di sini untuk proses bedah siasat.

“Hasil bedah siasat mendapati punca kematian disebabkan kecederaan retak pada bahagian kepala, selain patah beberapa tulang rusuk.

“Polis masih melengkapkan siasatan daripada pelbagai sudut dan klasifikasi kes boleh berubah sekiranya laporan bedah siasat atau bukti baharu menunjukkan sebaliknya,” katanya.

Katanya, setakat ini kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut dan orang ramai diminta tidak membuat sebarang spekulasi berhubung kejadian.



IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB :
Utusan Melayu Plus
IG:
Utusan Melayu Plus
TikTok:
@utusanmelayuplusofficial
Threads:
@utusanmelayuplus
Whatapps Channel:
Utusan Melayu Plus


Terkini

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here