SULTAN Pahang, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan Tengku Ampuan Pahang, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah, menzahirkan ucapan takziah kepada keluarga Allahyarham Fadhlan Fakhry Solana Mohd Fellimal.
Menerusi hantaran di Facebook Kesultanan Pahang hari ini, baginda berdua berharap ahli keluarga Allahyarham Fadhlan Fakhry Solana diberikan kekuatan dan ketabahan dalam menghadapi kehilangan insan tersayang.
“Baginda berdua turut mendoakan pelajar yang masih menerima rawatan diberikan kesembuhan dan dipermudahkan segala urusan,” menurut hantaran itu.
Menerusi hantaran itu juga, baginda berdua menasihati rakyat supaya sentiasa berwaspada dan mengambil langkah berjaga-jaga bagi mengelakkan risiko kesihatan akibat cuaca panas serta jerebu yang sedang melanda.
Baginda berdua mengingatkan orang ramai supaya meminum air secukupnya, mengurangkan aktiviti fizikal berat di kawasan terbuka terutama ketika cuaca paling panas, memakai pakaian ringan dan longgar serta berehat di tempat teduh atau kawasan yang sejuk.
“Orang ramai juga dinasihatkan supaya peka terhadap tanda-tanda awal masalah berkaitan haba seperti sakit kepala, pening, loya, kekejangan otot, keletihan melampau dan kekeliruan, serta mendapatkan rawatan segera sekiranya keadaan menjadi serius,” menurut hantaran itu.
Nasihat berkenaan dizahirkan susulan kejadian penuntut Universiti Teknologi Mara (UiTM), Fadhlan Fakhry Solana, 21, yang meninggal dunia semalam, selepas mengalami kesukaran bernafas ketika acara duathlon dalam program Ketahanan Komander Kesatria (KKEC), pada Jumaat lalu.
Lapan lagi peserta, masing-masing dua peserta menerima rawatan di Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Sultan Haji Ahmad Shah (HoSHAS) di Temerloh, manakala enam lagi dirawat di Hospital Jengka dan mereka dilaporkan stabil.
Media sebelum itu melaporkan, siasatan mendapati, sembilan penuntut terbabit terdiri daripada lima lelaki dan empat wanita, mengadu mengalami kesukaran bernafas ketika menyertai program itu di kampus UiTM Jengka di Maran.





