SULTAN Pahang, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan Tengku Ampuan Pahang, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah menzahirkan rasa dukacita serta ucapan takziah kepada keluarga mangsa yang terkorban dalam kemalangan tragisdi Lebuhraya Kuala Lumpur-Karak berhampiran Bukit Tinggi, Bentong, semalam.
Baginda berdua turut berdukacita susulan nahas yang meragut empat nyawa termasuk seorang bayi berusia setahun selepas kereta dinaiki mangsa terbabit dalam kemalangan dengan sebuah treler di Kilometer 43 lebuh raya berkenaan.
“Kebawah Duli Paduka Baginda Sultan Pahang dan Kebawah Duli Paduka Baginda Tengku Ampuan Pahang mendoakan agar roh kesemua mangsa yang terkorban dicucuri rahmat Allah SWT, diampunkan segala dosa serta ditempatkan dalam kalangan orang-orang yang beriman dan beramal soleh.
“Paduka Baginda berdua turut menzahirkan simpati kepada ahli keluarga mangsa yang sedang melalui saat-saat sukar dan penuh kesedihan susulan tragedi berkenaan.
“Semoga seluruh ahli keluarga mangsa dikurniakan kekuatan, ketabahan dan kesabaran dalam menghadapi ujian yang amat berat ini,” menurut hantaran yang dimuat naik di laman Facebook Kesultanan Pahang, hari ini.
Terdahulu, empat individu yang menaiki sebuah Honda City disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian selepas kenderaan tersebut dihempap sebuah treler yang membawa muatan habuk kayu.
Selain bayi berusia setahun, Nayla Afya Aizat, tiga lagi mangsa yang maut dikenal pasti A Halim Hasoon, 55; Rozita Buang, 58 dan Norbahyah A Halim, 26.
Semua mangsa disahkan meninggal dunia di lokasi dalam kejadian kira-kira jam 4.25 petang itu.






