SEORANG wanita direman lima hari selepas disyaki mencederakan ibu saudaranya menggunakan kayu golf dalam kejadian cubaan samun di sebuah rumah di Parit Raja, Batu Pahat, semalam.
Perintah reman terhadap suspek berusia 28 tahun itu dikeluarkan Majistret Aimi Nawwar Mohamad Othman di Mahkamah Majistret Batu Pahat, hari ini, bagi membolehkan polis menjalankan siasatan mengikut Seksyen 394 Kanun Keseksaan.
Difahamkan, suspek dipercayai bertindak demikian kerana terdesak untuk membayar hutang.
Berdasarkan laporan, kejadian berlaku kira-kira jam 3.10 petang semalam ketika mangsa berusia 71 tahun yang juga bergelar Datin berseorangan di rumah sebelum didatangi suspek.
Suspek kemudian memasuki rumah berkenaan sebelum memukul ibu saudaranya menggunakan kayu golf di kepala dan kedua-dua pergelangan tangan sehingga menyebabkan kecederaan.
Mangsa yang menjerit meminta pertolongan menyebabkan suspek terburu-buru keluar dari rumah sebelum melarikan diri sambil membawa kayu golf berkenaan.
Jiran mangsa yang menyedari kejadian itu kemudian bergegas ke rumah berkenaan dan mendapati wanita terbabit berlumuran darah sebelum menghubungi polis untuk tindakan lanjut.
Susulan laporan diterima, sepasukan polis daripada Bahagian Siasatan Khas/Jenayah Berat (D9) menahan suspek di sebuah rumah di Parit Raja bagi membantu siasatan.
Polis turut merampas kayu golf yang dipercayai digunakan untuk mencederakan mangsa.
Mangsa kemudian dibawa ke Hospital Sultanah Nora Ismail (HSNI) dan ditahan di wad untuk menjalani pemeriksaan pakar.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Batu Pahat, Asisten Komisioner Shahrulanuar Mushaddat Abdullah Sani ketika dihubungi mengesahkan kejadian berkenaan dan memaklumkan siasatan masih dijalankan.





