SDAR Symphonic Band muncul juara Asian Music Games 2026

SDAR Symphonic Band (SSB) dari Sekolah Dato’ Abdul Razak (SDAR) Seremban, mengharumkan nama Malaysia selepas muncul juara kategori Modern Concert Band (Senior Division) pada Asian Music Games (AMG) Kuala Lumpur 2026 pada 6 September lalu.

SSB meraih Gold Award dengan markah tertinggi 89.775 mata, mengatasi Sekolah Menengah Kebangsaan Convent Bukit Nanas yang memperoleh 86.675 mata di tempat kedua, manakala Sekolah Tuanku Abdul Rahman menduduki tempat ketiga dengan 85.300 mata.

SDAR Symphonic Band dari Sekolah Dato’ Abdul Razak (SDAR) Seremban muncul juara kategori Modern Concert Band (Senior Division) pada Asian Music Games (AMG) Kuala Lumpur 2026 baru-baru ini

Kejayaan itu melengkapkan misi SSB selepas sebelum ini dinobatkan sebagai juara Asian Music Games 2026 National Qualifier pada Jun lalu, sekali gus melayakkan pasukan berkenaan membawa cabaran Malaysia ke pentas final.

Lebih membanggakan, kemenangan tersebut menjadi kemuncak kepada rentetan pencapaian cemerlang SSB dalam tempoh tiga bulan, termasuk meraih Gold Award pada Festival Kesenian Muzik Malaysia 2026 di Pulau Pinang pada 5 Jun.

Dua hari kemudian, pada 7 Jun, SSB sekali lagi muncul juara kategori Modern Concert Band dengan Gold Award pada Asian Music Games 2026 National Qualifier di Kuala Lumpur.

Kecemerlangan pasukan itu diteruskan pada 13 Ogos menerusi Festival Wind Orchestra SBP Peringkat Kebangsaan Ke-24 apabila SSB dinobatkan sebagai Johan Keseluruhan, selain meraih Gold Award, Best Ensemble Section dan Best Brass Section.

Jurulatih SSB yang juga alumni SDAR, Adam Asyraf Shazly berkata, kejayaan berkenaan membuktikan perkembangan pasukan yang dibentuk menerusi latihan, disiplin dan komitmen berterusan.

“Kemenangan ini bukan sekadar tentang menjadi juara. Apa yang lebih membanggakan ialah melihat perkembangan anak-anak SSB daripada sebuah pasukan yang berlatih bersama kepada sebuah pasukan yang benar-benar percaya antara satu sama lain dan mampu membawa nama Malaysia di pentas Asian Music Games,” katanya.

Menurut Adam, setiap pertandingan memberikan pengalaman serta cabaran berbeza dalam membentuk generasi pemuzik muda SDAR.

“Kami mahu mereka belajar bahawa pencapaian datang daripada disiplin, kerja keras dan kesanggupan untuk terus memperbaiki diri. Menjadi Johan AMG adalah satu pencapaian yang sangat kami syukuri, tetapi perjalanan mereka masih panjang,” katanya.

Asian Music Games merupakan acara muzik berskala besar yang menghimpunkan bakat muzik dan seni persembahan dari Malaysia serta rantau Asia, meliputi pelbagai disiplin termasuk brass and wind music, marching arts dan orchestral ensembles.

Edisi Kuala Lumpur 2026 yang berlangsung dari 4 hingga 13 September menghimpunkan kira-kira 7,000 peserta tempatan dan 3,000 peserta antarabangsa dari sembilan negara, dengan 105 acara pingat dipertandingkan.

Pencapaian SSB di pentas final AMG 2026 bukan sahaja mengangkat nama SDAR, malah membuktikan keupayaan bakat muda Malaysia untuk bersaing di peringkat antarabangsa dalam bidang seni dan muzik.

Kejayaan itu turut mencerminkan kepentingan disiplin, kerja berpasukan, ketekunan serta latihan berterusan dalam melahirkan generasi muda yang mampu mengharumkan nama negara.

 



IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB :
Utusan Melayu Plus
IG:
Utusan Melayu Plus
TikTok:
@utusanmelayuplusofficial
Threads:
@utusanmelayuplus
Whatapps Channel:
Utusan Melayu Plus


Terkini

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here