MCMC tunggu maklum balas platform, isu jualan dalam dadah dalam talian

SURUHANJAYA Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) masih menunggu maklum balas berhubung hasil pertemuan dengan sebuah platform e-dagang utama susulan isu penjualan produk terlarang termasuk dadah secara dalam talian.

Menteri Komunikasi, Datuk Seri Fahmi Fadzil berkata, beliau sebelum ini sudah meminta MCMC memanggil pihak platform terbabit bagi mendapatkan penjelasan mengenai perkara berkenaan.

Setakat pagi ini, menurutnya, beliau masih menunggu perkembangan hasil pertemuan yang berlangsung dengan salah satu platform besar semalam.

Fahmi memberitahu, majoriti platform e-dagang yang beroperasi di negara ini mempunyai mekanisme bagi menghalang penjualan produk terlarang, namun terdapat platform tertentu yang dilihat masih mudah dieksploitasi.

Beliau turut membangkitkan kebimbangan mengenai kemungkinan akaun yang digunakan untuk menjual barangan terlarang itu adalah akaun palsu.

“Saya tidak mahu platform-platform ini melakukan apa yang mereka lakukan di beberapa negara lain, apabila kita cari menggunakan kata kunci itu, mereka memadam kata kunci berkenaan.

“Sepatutnya bukan sekadar itu. Mereka perlu tidak membenarkan terutamanya penghasilan akaun palsu untuk menjual dadah,” katanya ketika ditemui media selepas menghadiri Majlis WAIC CONNECT Malaysia 2026 di ibu negara, hari ini, lapor Buletin TV3.

Fahmi dalam pada itu memberitahu, kewujudan akaun palsu pada beberapa platform e-dagang adalah antara perkara yang membimbangkan dan memerlukan tindakan lebih menyeluruh, bukan sekadar menyekat carian menggunakan kata kunci tertentu.

Beliau menegaskan, MCMC dan Kementerian Komunikasi bersedia bekerjasama dengan Kementerian Dalam Negeri (KDN), Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN), Polis Diraja Malaysia (PDRM) serta agensi berkaitan bagi memastikan ekosistem e-dagang kekal selamat.

Beliau turut mengakui terdapat kelompongan dalam sistem e-dagang ketika ini memandangkan platform terbabit masih belum tertakluk kepada pelesenan.

“Pada waktu ini e-dagang belum lagi dilesenkan, jadi kita perlu teliti.

“Kita mungkin akan beri tumpuan lebih, bukan sahaja kepada platform yang mungkin baharu dalam negara tetapi juga platform yang sudah lama berada di negara kita tetapi membolehkan produk terlarang dijual,” katanya.

 



IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB :
Utusan Melayu Plus
IG:
Utusan Melayu Plus
TikTok:
@utusanmelayuplusofficial
Threads:
@utusanmelayuplus
Whatapps Channel:
Utusan Melayu Plus


Terkini

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here