Remaja lemas ketika mandi di Sungai Tagal

SEORANG remaja lelaki berusia 19 tahun lemas selepas arus Sungai Tagal di Kampung Kijang, Tawau, menjadi deras secara tiba-tiba ketika dia bersama enam rakannya sedang mandi, pagi semalam.

Timbalan Ketua Polis Daerah Tawau, Superintendan Wilynton Enchana Watt berkata, kejadian kira-kira jam 9.30 pagi itu berlaku ketika mangsa bersama 11 rakannya termasuk enam yang terselamat berada di kawasan sungai berkenaan untuk berkelah.

“Ketika kejadian, mangsa bersama enam rakannya sedang mandi di sungai itu, manakala rakan-rakan lain berada berhampiran menyediakan makanan sebelum air sungai menjadi deras secara tiba-tiba.

“Enam rakan mangsa sempat berenang menyelamatkan diri dan berjaya sampai ke tebing, manakala mangsa gagal berbuat demikian sebelum tenggelam,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Beliau berkata, rakan-rakan mangsa kemudian mendapatkan bantuan daripada penjaga sungai di situ yang terjun dan menyelam ke dalam sungai bagi mencari mangsa.

Menurutnya, mangsa berjaya ditemui dalam keadaan pucat dan tidak sedarkan diri sebelum dibawa ke Klinik Kesihatan Merotai Besar untuk mendapatkan rawatan.

“Mangsa bagaimanapun disahkan meninggal dunia oleh doktor bertugas di klinik berkenaan,” katanya.

Katanya, mayat mangsa kemudian dibawa ke Unit Forensik Hospital Tawau untuk pemeriksaan dan bedah siasat.

“Hasil pemerhatian dan pemeriksaan fizikal mendapati tiada tanda berunsur jenayah atau kesan mencurigakan pada tubuh mangsa.

“Kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut (SDR) dan siasatan lanjut dijalankan bagi melengkapkan dokumentasi serta tindakan selanjutnya,” katanya.



IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB :
Utusan Melayu Plus
IG:
Utusan Melayu Plus
TikTok:
@utusanmelayuplusofficial
Threads:
@utusanmelayuplus
Whatapps Channel:
Utusan Melayu Plus


Terkini

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here