DAKWAAN bahawa gas sulfur dioksida daripada letusan Gunung Anak Krakatau telah memasuki atmosfera Malaysia adalah tidak benar.
Ketua Pengarah Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia), Dr Mohd Hisham Mohd Anip berkata, setakat ini tiada bukti menunjukkan gas atau debu daripada letusan gunung berapi berkenaan telah memasuki Malaysia.
Beliau berkata, berdasarkan pemantauan semasa, potensi gas itu untuk sampai ke Malaysia adalah rendah.
“Malah, sebaran debu lebih tertumpu di sekitar kawasan Selat Sunda dan wilayah berdekatan di Indonesia,” katanya, lapor Buletin TV3.
Bagaimanapun, beliau berkata, perubahan arah dan kelajuan angin, selain aktiviti letusan susulan, boleh mempengaruhi arah pergerakan debu terbabit.
Sehubungan itu, MetMalaysia akan terus memantau keadaan berkenaan menggunakan data satelit, analisis keadaan atmosfera serta maklumat daripada Pusat Nasihat Debu Gunung Berapi (VAAC) global.
“Pemantauan itu bagi mengenal pasti sebarang potensi pergerakan debu gunung berapi ke ruang udara Malaysia.
“MetMalaysia turut memberi jaminan akan memaklumkan sebarang perkembangan berkaitan keadaan itu kepada rakyat Malaysia dengan kadar segera,” katanya.





