Wan Ahmad Aslam bawa anak sertai aktiviti mendaki elak ketagihan telefon

BERMULA sebagai usaha mengurangkan kebergantungan anak-anak terhadap telefon pintar, aktiviti mendaki kini menjadi rutin keluarga sehingga mereka sanggup menghabiskan beberapa hari di dalam hutan bersama-sama.

Wan Ahmad Aslam Wan Zairudin, 39, berkata, keputusan membawa anak-anak menyertai aktiviti pendakian tercetus selepas melihat mereka semakin ketagih menggunakan telefon.

“Puncanya daripada mereka ketagih kepada telefon. Jadi saya cari cara untuk elakkan mereka guna telefon terlalu lama.

“Saya cuba macam-macam, saya cuba badminton, saya cuba berenang tetapi benda itu hanya satu, dua jam. Jadi saya cuba mendaki,” katanya ketika ditemui di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Gerik hari ini, lapor Buletin TV3.

Wan Ahmad Aslam bersama isterinya, Siti Zulaiha Norizan, 39, dan dua anak mereka, Diya Raisha, 13, dan Ahmad Raef, 9, serta dua malim gunung, Shafiee Sidek, 49, dan Hazman Mamat, 43, dilaporkan hilang ketika menyertai ekspedisi melalui laluan Trans GBB (Gerah, Bilah dan Bieh).

Mengulas lanjut, Wan Ahmad Aslam berkata, daripada pendakian yang pada awalnya hanya mengambil masa setengah hari, aktiviti itu kemudian berkembang kepada perjalanan yang panjang sehingga lapan hari sebelum ekspedisi terbaharu mereka.

Beliau berkata, anak-anaknya yang pada mulanya mungkin terpaksa mengikut, akhirnya mula menikmati pengalaman berada di laluan pendakian.

“Dia mula-mula terpaksa tetapi apabila sudah berada di laluan, dia akan gembira,” katanya.

Pengalaman itu juga membuatkan beliau melihat sendiri ketahanan fizikal anak-anak yang disifatkannya jauh lebih kuat berbanding orang dewasa.

Namun, katanya, aspek paling penting sepanjang perjalanan panjang adalah memastikan mereka kekal gembira dan menikmati pengalaman tersebut.

“Kanak-kanak dari segi fizikal mereka sangat kuat berbanding kita. Tetapi kita cuma perlu kawal mental mereka. Mereka perlu gembira dan menikmati perjalanan sepanjang berada di sana,” katanya.

Pendakian terbaharu itu turut menjadi pengalaman paling panjang buat keluarga berkenaan apabila perjalanan asal yang dirancang terpaksa mengambil masa lebih lama daripada jadual.

Katanya, pasukan mereka pada awalnya hanya mampu bergerak sekitar dua hingga tiga kilometer sehari berbanding sasaran antara lapan hingga 10 kilometer.

Keadaan itu menyebabkan beliau bersama malim gunung terpaksa berbincang sama ada mahu berpatah balik, meneruskan perjalanan atau mencari sumber air sebelum memilih untuk mencari punca air.

Bagaimanapun, Wan Ahmad Aslam menegaskan keadaan mereka di dalam hutan sebenarnya terkawal dan mereka mengetahui lokasi, mempunyai bekalan makanan serta tidak mengalami kecederaan atau tersesat.

Kerisauan utama mereka ketika itu adalah keluarga di luar hutan mungkin bimbang dan membuat laporan kepada pihak berkuasa berikutan tempoh perjalanan yang melebihi jadual asal.

Beliau berkata, bekalan makanan yang dibawa juga masih mencukupi dan sehingga hari ke-10.

 



IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB :
Utusan Melayu Plus
IG:
Utusan Melayu Plus
TikTok:
@utusanmelayuplusofficial
Threads:
@utusanmelayuplus
Whatapps Channel:
Utusan Melayu Plus


Terkini

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here