
HARI ini Menteri Komunikasi Datuk Seri Fahmi Fadzil memaklumkan beliau telah menerima mesej daripada Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mengenai kegiatan penjualan dadah secara dalam talian, termasuk fentanil dan bahan yang disebut sebagai ‘piu-piu’.
Lanjutan Fahmi telah mengarahkan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) mengadakan pertemuan dengan salah satu daripada platform yang dilihat terlibat dalam penyalahgunaan rangkaian yang membolehkan dadah seperti fentanil atau apa disebut sebagai piu-piu, dijual di Malaysia.
Kata Fahmi ‘’selepas ini Pengerusi MCMC dan pasukan mesti berlaku adil tapi bertindak tegas.’’
Mesej daripada Perdana Menteri dan arahan oleh Fahmi kepada MCMC menunjukkan keprihatian serta ketegasan kerajaan memerangi ancaman tersebut tetapi bagaimana dengan platform e-dagang terlibat?
Apakah mereka telah mengambil langkah mencukupi bagi menangani ancaman itu atau mereka sengaja ‘butakan mata’ dan membiarkan kegiatan yang merosakkan orang ramai tersebut ‘bermaharajalela’?
Mungkin platfrom e-dagang terlibat akan memberi alasan mereka telah cuba menghalang atau mencegah perbuatan tersebut tetapi adakah ia dilakukan secara bersungguh-sungguh atau sambil lewa bagi menunjukkan kononnya mereka bertindak?
Platform e-dagang berkenaan tidak perlu bersandiwara lagi, sebaliknya mereka perlu lebih tegas dan bukannya memikirkan keuntungan semata-mata. Sudah pasti melalui kandungan seumpama itu, ia akan memberi keuntungan lumayan kepada platform terlibat.
Tetapi apa kesannya kepada masyarakat khususnya rakyat negara ini? Adalah tidak boleh diterima sekali apabila dadah boleh dipasarkan melalui platform digital. Dalam berhadapan situasi ini, ia bukan soal bukan sekadar seberapa pantas kandungan diturunkan, tetapi sejauh mana platform bertanggungjawab mencegah penjualan tersebut daripada berlaku sejak awal!
Platform e-dagang terlibat perlu bertanggungjawab untuk menyekat kandungan seumpama itu. Mereka harus mencari kaedah lebih baik bagi mengatasi ancaman berkenaan bukan sekadar menyekat kata kunci.
Ia kerana penjual atau lebih tepat penjenayah yang menjual bahan berkenaan boleh menggunakan istilah lain, membuka akaun baharu atau menggunakan akaun palsu untuk mengelak pengesanan.
Kalau begitulah keadaannya sejauh manakah mekanisme pengesahan penjual, pemantauan dan pencegahan platform benar-benar berkesan dalam menutup ruang penyalahgunaan ini? Siapa yang bertanggungjawab apabila platform digital disalahgunakan untuk menjual dadah?
Justeru apa yang diharapkan platform e-dagang terlibat memahami bahawa mereka bertanggungjawab memastikan perkhidmatan yang disediakan tidak menjadi saluran bagi aktiviti jenayah.
Mereka perlu serius menangani gejala ini bukan bila berhadapan MCMC beri komitmen akan bertanggungjawab tetapi di belakang ‘jadi rakan subahat’ – janganlah bersikap demikian kerana negara ini ada undang-undang untuk ‘bersikap adil’ tetapi ‘berhak bertindak tegas’ demi melindungi rakyatnya.





