‘’Bapa saya ditahan polis’’ – Anak Azeez Rahim

ANAK bekas Pengerusi Lembaga Tabung Haji (TH), Datuk Seri Abdul Azeez Abdul Rahim, mendakwa bapanya kini ditahan di Balai Polis Dang Wangi dan akan direman hari ini.

Melalui Facebook beliau, Mohamed Khairul Azman berkata, Azeez sepatutnya hadir ke Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur  bagi menghadapi pertuduhan yang bakal dikenakan terhadapnya.

Katanya, penahanan itu turut menyebabkan bapanya tidak dapat menghadiri Perhimpunan Agung UMNO bersama rakan seperjuangan seperti dirancang.

Mohamed Khairul Azman Abdul Azeez.

“Saya tidak pernah menyangka satu hari nanti saya perlu menulis tentang ayah saya dalam keadaan seperti ini. Selama ini saya melihat ayah sebagai seorang yang sangat kuat,” katanya melalui media sosial itu malam tadi.

Khairul berkata beliau sedih, takut dan kecewa melihat bapanya melalui keadaan berkenaan.

Namun, katanya, beliau tidak mahu mendahului proses mahkamah atau menghukum mana-mana pihak.

“Saya cuma berharap satu perkara iaitu biarlah proses ini berjalan dengan adil, telus dan tanpa prejudis. Pertuduhan hanyalah pertuduhan sehingga dibuktikan di mahkamah,” katanya.

Beliau turut meminta orang ramai mendoakan bapanya diberikan kekuatan, ketenangan dan perlindungan serta segala urusan dipermudahkan.

Terdahulu, Azeez dilaporkan akan didakwa di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur hari ini d bawah Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009.

Berdasarkan semakan sistem mahkamah, bekas Ahli Parlimen Baling itu akan dituduh di hadapan Hakim Azura Alwi pada 9 pagi.

Pada 27 Ogos lalu, Azeez dan bekas Ketua Setiausaha Perbendaharaan masing-masing direman tujuh hari hingga 2 Sept bagi membantu siasatan susulan pendedahan berkaitan laporan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) mengenai TH.

Kedua-duanya disiasat bawah Seksyen 23(1) Akta SPRM 2009.

Laporan RCI mengenai TH yang dimuat naik melalui portal rasmi Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) pada 29 Julai lalu antara lain mencadangkan audit forensik dijalankan bagi meneliti keputusan pelaburan terdahulu yang menyebabkan TH berdepan penurunan nilai aset yang teruk.

RCI yang menyiasat pengurusan dan operasi TH dari 2014 hingga 2020 turut menyenaraikan beberapa pelaburan bermasalah untuk diaudit secara forensik.

Laporan itu juga mendapati wujud transaksi mencurigakan dan penyembunyian maklumat.



IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB :
Utusan Melayu Plus
IG:
Utusan Melayu Plus
TikTok:
@utusanmelayuplusofficial
Threads:
@utusanmelayuplus
Whatapps Channel:
Utusan Melayu Plus


Terkini

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here