KOLEJ Tingkatan Enam Tuanku Muhriz (KTETM) Negeri Sembilan sekali lagi mencatat sejarah apabila berjaya mengungguli dua pertandingan berprestij peringkat negeri, iaitu Telaah Karya Sasterawan Negara dan Impromptu Speech.
Bagi kategori Telaah Karya Sasterawan Negara, ia menghimpunkan sembilan sekolah dari seluruh Negeri Sembilan dengan format lapan orang peserta dalam satu kumpulan.
Di bawah bimbingan guru pembimbing, Noormarina Binti Abdullah, pasukan KTETM tampil dengan penuh keyakinan dan berjaya meraih Johan Negeri Sembilan bagi Anugerah Moderator Terbaik, Anugerah Panel Terbaik dan Anugerah Konsep Terbaik.
Kejayaan ini melayakkan mereka untuk mara ke peringkat kebangsaan yang akan berlangsung pada 12–15 Oktober ini di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC).

Untuk kategori Impromptu Speech, pasukan KTETM yang dibimbing oleh Mohd Irman Harun dan terdiri daripada 4 peserta turut mencatat kejayaan cemerlang dengan meraih Johan Anugerah Panel Terbaik.
“Kami merasa puas dan bangga atas pencapaian ini dan mengucapkan terima kasih kepada kedua guru yang membimbing kami dalam pertandingan ini, ‘’ kata Khalidah Hisyam yang mewakili KTEM.
Majlis perasmian pertandingan disempurnakan oleh Timbalan Pengarah Pendidikan Sektor Pembelajaran, Jabatan Pendidikan Negeri Sembilan, Zainab Abu Kassim.
Dalam ucapan, Zainab menzahirkan rasa bangga atas kesungguhan dan usaha gigih yang ditunjukkan oleh semua peserta.
Beliau menekankan bahawa pertandingan ini bukan sekadar pentas untuk meraih kemenangan, tetapi wadah untuk para pelajar mendalami dan menghayati karya sastera yang ditelaah, sekali gus memperkukuh apresiasi terhadap warisan sastera negara.
Pertandingan itu dianjurkan oleh Bahagian Pengurusan Sekolah Harian Kementerian Pendidikan Malaysia dengan sokongan Jabatan Pendidikan Negeri Sembilan.





