KEJADIAN hubungan seks suka sama suka di Baling melibatkan seorang pelajar perempuan dengan empat remaja lelaki termasuk tiga masih bersekolah seharusnya dijadikan sandaran untuk kerajaan mengkaji semula undang-undang berkaitan kes rogol bawah umur.
Dalam soal ini, masihkah kita ingat kenyataan Ketua Polis Kelantan Datuk Mohd Yusoff Mamat pada 21 September lalu yang mencadangkan agar perempuan bawah umur yang terlibat dalam hubungan seks suka sama suka dengan lelaki turut dikenakan tindakan undang-undang.
Beliau berkata, cadangan itu wajar dipertimbangkan kerana berdasarkan siasatan, hampir 90 peratus kes rogol bawah umur yang dilaporkan di Kelantan adalah atas kerelaan kedua-dua pihak dan bukannya paksaan.
“Sekarang ini undang-undang sedia ada lebih menjurus kepada pendakwaan terhadap lelaki sahaja, sedangkan siasatan mendapati banyak kes kedua-dua pihak sama-sama rela.
“Apabila laporan dibuat, kita tetap kena buka kertas siasatan dan mengenakan pertuduhan terhadap lelaki mengikut Kanun Keseksaan atau Akta Kanak-Kanak, walaupun ada pengakuan ia dilakukan suka sama suka,” katanya.
Oleh itu Kes terbaru di Baling perlu dijadikan rujukan untuk kerajaan dan pihak berkuasa mengkaji semula undang-undang sedia ada untuk memastikan apabila berlaku kes suka sama suka, kedua-dua belah pihak boleh dihukum. Sekurang-kurangnya pelajar perempuan yang ‘rela’ bukan paksa dihantar ke pusat pemulihan akhlak.
Pihak-pihak yang sebelum ini mengkritik Ketua Polis Kelantan, harus melihat kes di Baling itu dengan mata hati dan bukannya emosi, termasuk jangan membuat ‘hujah kuno’ perempuan bawah umur belum matang lagi, mereka tak tahu kesannya.
Tapi bagaimana dengan kes ada pelajar perempuan bawah umur ‘mengiklankan diri untuk dimangsakan’ dengan bayaran tertentu? Bagaimana dengan kes di Baling, pelajar terlibat ‘buat kerja’ di dalam kelas dan ladang kelapa sawit?
Istilah rogol dan seks suka sama suka perlu dikaji semula supaya peruntukan undang-undang sedia ada boleh dipinda mengikut peredaran zaman dan perkembangan semasa. Gadis umur 12 tahun, 14 tahun, 15 tahun sekarang berbeza dengan gadis umur yang sama pada tahun-tahun 90an dulu.
Sabda Rasulullah SAW berkaitan mendidik anak boleh dijadikan panduan bagi menangani seks suka sama suka ini.
Rasulullah SAW bersabda:
“Ajarilah anak-anakmu sesuai dengan zamannya, karena mereka hidup di zaman mereka bukan pada zamanmu. Sesungguhnya mereka diciptakan untuk zamannya, sedangkan kalian diciptakan untuk zaman kalian”. (H.R. Ali Bin Abi Thalib).
Macam itu juga undang-undang rogol sedia ada. Definisi dirogol sedangkan mangsa datang secara sukarela dan tersengeh-sengeh untuk ‘dimangsakan’ tidak boleh lagi dilihat sebagai rogol. Rogol ini maksudnya semua perbuatan dilakukan secara paksa tetapi kalau sendiri datang untuk ‘sama-sama menikmati’…itu bukan rogol… itu serah diri.
Justeru dalam memperkatakan soal peruntukan ini,penulis imbas kembali kenyataan Peguambela dan Peguamcara, Nik Saiful Adli Burhan kepada Sinar Harian pada 22 September lalu apabila diminta mengulas kenyataan Ketua Polis Kelantan.
Beliau berkata, cadangan Ketua Polis Kelantan supaya tindakan undang-undang turut dikenakan terhadap pengadu atau mangsa sekiranya terbukti perbuatan seks bawah umur dilakukan secara suka sama suka, disifatkan sebagai langkah yang wajar untuk dibincangkan semula di peringkat penggubal undang-undang, cadangan tersebut perlu difahami secara adil, rasional dan berpandukan realiti sebenar kes-kes rogol bawah umur yang dibicarakan di mahkamah.
Menurut beliau, pengalaman lebih satu dekad mengendalikan kes jenayah menunjukkan bahawa kebanyakan kes rogol bawah umur sebenarnya bermula daripada hubungan rela antara pasangan remaja, dan bukan serangan paksa.
“Majoriti kes bukan dilaporkan oleh mangsa sendiri, sebaliknya hanya dikesan apabila keluarga atau pihak hospital membuat laporan contohnya selepas berlaku kehamilan.
“Dalam keadaan ini, polis dan mahkamah tidak mempunyai budi bicara kerana undang-undang menolak apa-apa pembelaan kerelaan jika mangsa berumur di bawah 16 tahun,” katanya kepada pemberita pada Isnin.
Nik Saiful berkata, dua peruntukan utama yang terpakai dalam kes seumpama itu ialah Seksyen 375(g) Kanun Keseksaan yang menetapkan had umur 16 tahun dan Seksyen 2(1) Akta Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017 yang meletakkan had umur 18 tahun.
“Sudah tiba masanya had umur rogol statutori disemak semula supaya lebih realistik dengan tahap kematangan remaja masa kini.
“Had umur wajar dipertimbangkan untuk diturunkan kepada 14 tahun, dan hakim perlu diberi kuasa menilai tahap kematangan seseorang, bukan hanya bergantung kepada angka umur,” katanya.
Beliau turut mencadangkan agar kes yang terbukti dilakukan secara rela tetapi tidak boleh didakwa sebagai rogol dibawa ke Mahkamah Syariah menerusi kerjasama yang lebih erat antara Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Jabatan Agama Islam Negeri.
“Jika terbukti kedua-dua pihak rela, tindakan boleh diambil di bawah kesalahan zina bagi mendidik masyarakat agar lebih bertanggungjawab menjaga maruah diri. Undang-undang tidak boleh dilihat hanya sebagai alat menghukum, sebaliknya sebagai mekanisme pendidikan,” katanya
Malah selepas Nik Saiful Adli membuat kenyataan itu, beberapa mufti turut menyokong cadangan Ketua Polis Kelantan tersebut. Maknanya mereka amat memahami zaman sudah berubah. Remaja perempuan atau gadis umur sekarang bukan macam dulu.
Oleh itu kerajaan perlu mempertimbangkan meminda undang-undang rogol bawah umur ini. Adalah tidak adil ‘lepas’ suka sama suka, seorang masuk penjara, seorang lagi tak kena apa-apa. Paling malang, lain kali gadis tu ‘suka sama suka’ dengan orang lain pula, tapi hukuman tidak berubah.
Justeru kepada mereka yang kononnya berjuang membela anak-anak gadis bawah umur ini, agak-agaklah kalau nak bela pun. Sebelum mahu bela, tengok kes betul-betul…yang mana rela, yang mana paksa…tak adanya istilah rela paksa..mengarut semua tu.
Jadi kesimpulannya kerajaan kena pinda undang-undang kes rogol bawah umur ini. Pastikan dalam kes suka sama suka, dua-dua kena. Jangan seorang merana, seorang lagi tidur lena.
UNDILAH |