Antara jihad peserta frotilla, kritikan orang  gangguan jiwa dan usaha hentikan kejahatan  Zionis gila

SEMALAM genaplah dua tahun Israel ‘meratah’ setiap sudut bumi Palestin, ‘menyembelih’ penduduk sesuka hati dan meranapkan bangunan serta menghancurkan infrastruktur di Gaza.

Mengikut laporan Agensi Berita Palestin (WAFA) sekurang-kurangnya 67,173 orang terbunuh dalam serangan genosid Israel di Semenanjung Gaza sejak 7 Okt 2023 manakala 169,780 yang lain cedera, termasuk 20,179 kanak-kanak, 10,427 wanita, 4,813 warga emas dan 31,754 lelaki.

Namun berbanding konflik-konflik di tempat lain, pencerobohan dan keganasan yang dilakukan oleh rejim Zionis ke atas Gaza dan penduduknya tiada bandingannya. Ia kerana rejim Zionis yang diketuai oleh penjenayah antarabangsa Benjamin Netanyahu bukan sahaja membunuh dan mengusir penduduk Gaza tetapi juga memastikan tiada sebarang bantuan kemanusiaan sampai ke wilayah itu.

Rejim Zionis bersedia melakukan apa sahaja, jika ada bantuan yang sampai…penduduk yang beratur mahu mengambilnya akan ditembak mati. Tiada siapapun selamat di Palestin.

Bayangkan jumlah petugas perubatan yang syahid meningkat kepada 1,701 orang manakala 362 tahanan kini ditahan dalam keadaan kehilangan paksa dan penahanan yang dinafikan hak asasi mereka.

Daripada keseluruhan 38 hospital, 25 tidak lagi beroperasi manakala 13 lagi berfungsi sebahagiannya dalam keadaan amat mencabar. Sebanyak 103 daripada 157 pusat jagaan kesihatan utama telah musnah dan hanya 54 masih beroperasi secara separa.

 Rejim Israel turut menyekat bekalan produk perubatan dan kesihatan, menyebabkan 55 peratus ubat-ubatan, 66 peratus bekalan perubatan dan 68 peratus bekalan makmal kini kehabisan stok.

Tindakan tentera Israel yang menyasarkan kemudahan kesihatan telah memusnahkan sistem elektrik dan elektromekanikal, selain memusnahkan 25 daripada 35 stesen penjana oksigen serta 61 daripada 110 penjana.

Tahap kebuluran di Semenanjung Gaza telah mencapai paras kritikal mengikut penilaian Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), dengan 460 kematian akibat kebuluran dan kekurangan zat makanan direkodkan, termasuk 154 kanak-kanak manakala 51,196 kanak-kanak di bawah umur lima tahun masih mengalami kekurangan zat makanan yang teruk.

Keadaan rakyat Palestin yang dipaksa bersesak-sesak di kawasan perhimpunan paksa yang secara palsu dilabel sebagai “kawasan kemanusiaan” memburukkan lagi keadaan kesihatan dan kemanusiaan mereka, dengan kekurangan keperluan asas hidup yang membawa kepada penularan penyakit, kekurangan sumber air bersih dan kekurangan makanan.

Sebarang percubaan pihak luar seperti Global Sumud Frotilla (GSF) akan dipintas,dikepung dan aktivisnya ditangkap. Dalam tahanan mereka akan dilayan di luar batas kemanusiaan. Mereka dihina, dipukul, djatuhkan maruah dan pelbagai lagi.

Mereka bukannya pengganas, lagipun di Gaza tidak ada pengganas, yang betul-betul pengganas adalah rejim Zionis. Atas sebab itulah mereka bersedia menangkap dan mendera aktivis kemanusiaan yang datang ke Palestin dengan niat suci.

Niat GSF hanya satu iaitu membantu rakyat Palestin. Tidak ada sekelumit pun niat mahu melawan Israel walaupun rejim tersebut sedang menjajah Palestin. Penulis pernah membuat liputan di beberapa kawasan konflik tidak pernah penulis dengar situasi sebegitu buruk seperti mana dilakukan oleh Israel.

Kejahatan mereka luar biasa, keganasan mereka tidak  terfikir dek otak, kebiadaban mereka tidak pernah terbayang di mata  kita dan paling dahsyat TIDAK ADA SATUPUN KUASA DI DUNIA mampu menahan kegilaan Benjamin Netanyahu dan rejim Zionis.

Oleh itu janganlah ada antara kita cuba memperlekehkan pengorbanan yang dilakukan oleh mereka yang bergabung dalam Global Sumut Frotilla (GSF). Mereka melakukannya untuk menyedarkan masyarakt dunia bahawa Israel sedang melaksanakan agenda melupuskan Palestin dari muka bumi Allah SWT ini.

Atas sebab itulah mereka membunuh rakyat Palestin, mereka hapuskan sesiapa juga yang cuba membantu rakyat Palestin, doktor, jururawat, wartawan semuanya dilenyapkan oleh tentera Zionis.

Keberanian insan-insan seperti peserta GSF termasuk dari Malaysia sangat diperlukan. Benar mereka akan ditangkap, benar akan didera, benar mereka mungkin tidak dapat kembali ke tanah air sendiri. Mereka tahu semua risiko itu  tetapi mereka tetap melangkah! Kerana apa?

Kerana mereka mahu tunjukkan kepada dunia bahawa masih ada insan yang bersedia berkorban membela rakyat Palestin yang tidak mampu melawan rejim Zionis yang mendapat sokongan padu Amerika Syarikat.

Bagi penulis, mereka yang masih mahu memperlekehkan peserta GSF ini hentikanlah kerja-kerja bodoh itu! Tiada faedahpun apatah lagi kalau insan itu beragama Islam. Jihad bukan sekadar berdoa, jauh sekali jihad tu sekadar mengutuk. Jihad itu maksudnya bersedia berkorban apa sahaja termasuk dalam soal membela rakyat Palestin. Tidak fikirkah kenapa dalam 30 juta rakyat Malaysia khususnya dalam kalangan umat Islam 23 orang itu dipilih oleh Allah SWT untuk melalui ujian berkenaan?

Walaupun penulis diberitahu ada juga kaum bukan Melayu yang mengkritik GSF tetapi itu tidak mengapa kerana mereka tidak tahu soal jihad dan ikatan persaudaraan sesama muslim. Tetapi kalau ada orang Melayu yang memperlekehkan jihad GSF, penulis rasa mungkin ada masalah  dengan hati.

Tetapi penulis percaya, kalaulah kebiadaban melampau tentera Zionis mendera mereka dalam tahananpun tidak melunturkan semangat jihad mereka, apalah sangat setakat  kutukan puak-puak yang mungkin tengok tikus pun lari atau masih tercari-cari identiti sendiri.

Lagi pula biarpun gagal menjejakkan kaki di Gaza bagi menyampaikan bantuan kepada rakyat Palestin yang sedang menderita, namun kehadiran Global Sumud Nusatara telah membuka mata dunia bahawa  mereka tidak boleh membiarkan kekejaman yang dahsyat oleh rejim Zionis berterusan.

Benar hasrat mereka ke Gaza  tak tercapai tetapi Allah SWT menentukan penahanan kesemuanya hampir 500 peserta GSF termasuk 23 orang dari Malaysia telah mencetuskan gelombang demonstrasi seluruh dunia yang tidak pernah disaksikan sebelum ini dalam isu Palestin.

Oleh itu lihat ini sebagai kejayaan peserta-peserta berkenaan janganlah berperangai seperti mata lalat…yang hanya nampak atau mencari benda buruk sahaja. Itu ada gangguan jiwa..namanya.

Percayalah kalau tahun ini atau tahun depan Palestin masih belum dapat dipulihkan, Inshallah tahun 2027 ia pasti bangkit…kenapa? Itulah ketetapan Allah SWT.

Kepada kesemua peserta GSF sama ada yang ditahan oleh tentera Israel atau tidak dapat menghabiskan perjalanan kerana masalah Kesihatan dan sebagainya..teruskanlah jihad kalian, jangan peduli apa orang kata kerana rakyat Palestin mengharapkan insan-insan seperti anda..Tahniah atas keberanian, Selamat Kembali Ke Tanah Air!

 

IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB : Utusan Melayu Plus
IG: Utusan Melayu Plus
TikTok: @utusanmelayuplusofficial

Terkini

spot_imgspot_img

Related articles

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here

spot_imgspot_img