Bank jangan amal  sikap seperti simpan duit bawah bantal

Saya harap tulisan minggu ini akan dibaca oleh Perdana Menteri yang juga Menteri Kewangan I, Datuk Seri Anwar Ibrahim, Menteri Kewangan II Senator Datuk Seri Amir Hamzah Azizan dan Gabenor Bank Negara, Datuk Shaik Abdul Rasheed Abdul Ghaffour supaya sikap bank dan cara bekerja mereka lebih mesra pelanggan, sekaligus merancakkan ekonomi negara.

Hari ini bank dilihat terlalu berat sebelah kerana memikirkan keuntungan semata-mata berbanding usaha mempercepatkan pembangunan ekonomi melalui perkongsian dana lebih efisyen terutama kepada pelanggan mereka.

Baru-baru ini, saya menerima banyak aduan daripada masyarakat khususnya golongan usahawan yang menganggap karenah bank ‘semakin menggila’ atau yang diistilahkan oleh generasi muda sebagai ‘banyak songeh’.

Saya bertemu dengan beberapa usahawan yang saya tahu mereka usahawan tulen, profesional dan mempunyai pengurusan korporat yang baik. Tetapi mereka masih berdepan dengan masalah kesukaran untuk mendapatkan pembiayaan pinjaman bank.

Lebih menyakitkan hati ialah sikap bank yang mereka mempunyai akaun di situ. Secara logiknya sudah tentulah pihak bank mengetahui kemampuan kewangan dan aliran keluar masuk wang mereka, bagaimanapun permohonan pinjaman tetap tidak diluluskan.

Berikut beberapa kes yang saya temui, kes pertama ialah seorang usahawan muda berusia pertengahan 30-an. Pendapatan beliau pernah mencecah hingga RM3 juta setahun, hasil jualan makanan ringan yang dihasilkan.

Bagaimanapun hasratnya untuk membeli sebuah kereta yang berharga RM150,000 dengan membuat pinjaman bank telah ditolak dengan macam-macam alasan. Akhirnya, usahawan muda itu berjaya membeli kereta tersebut secara tunai dengan harga yang sama.

“Lepas satu-satu dikorek hal saya. Semuanya mereka teliti bukan sahaja akaun syarikat dan akaun peribadi saya tetapi juga akaun anak isteri. Mereka juga mahu tahu simpanan KWSP saya dan macam-macam lagi yang bagi saya tiada kena mengena dengan keupayaan saya membayar balik pinjaman bank berkenaan”, katanya.

Kes kedua pula,  sahabat saya berusia 50 tahun. Beliau  mempunyai bisnes berkaitan kerajaan, oleh itu sudah tentulah dari segi pendapatan tidak akan ada masalah. Bagaimanapun permohonan pinjaman perumahannya ditolak dengan pelbagai alasan. Antaranya, usia 50 tahun dianggap tua dan berisiko untuk bank memberikan pinjaman.

”Ini kita yang dah berpengalaman dan ada pendapatan yang besar. Bayangkan anak-anak muda sekarang yang gaji dan pendapatan mereka sangat kecil berbanding zaman kita dulu”, kata usahawan tersebut.

Lebih memeranjatkan saya ialah seorang usahawan yang mengadu masih belum diluluskan pinjaman peribadinya sebanyak RM50,000 sahaja walaupun  pendapatan syarikatnya lebih kurang RM2 juta setahun dan elaun bulanan beliau dan isteri adalah RM20,000 sebulan. Cukai pendapatannya dibayar setiap tahun dan tanggungan keluarga ringan kerana anak-anak sudah bekerja.

“ Saya memohon RM200,000 dan mampu dibayar secara lump sum sebaik sahaja bayaran kontrak saya diterima. Bank hanya tawarkan pinjaman RM50,000 sahaja…tapi dah tiga bulan belum diluluskan’ katanya yang rimas apabila bank meminta pelbagai dokumen.

Seorang usahawan di utara tanahair mengadu bagaimana sistem maklumat kebankrapannya yang sudah dibersihkan pada tahun 2010 masih menjadi rekod akaun bermasalah, sedangkan beliau telah membuka banyak akaun selepas itu yang membuktikan beliau tidak disenaraihitamkan.

Apabila beliau bercadang mahu mengambil tindakan undang-undang ke atas bank terlibat, barulah namanya dibersihkan dalam sistem  walaupun Jabatan Insolvensi telah menghantar notis kepada Persatuan Saudagar Bank yang memaklumkan bahawa nama beliau sudah dikeluarkan daripada kebankrapan pada tahun 2010.

Akhir sekali saya berjumpa dengan usahawan wanita yang tidak memiliki apa-apa rekod buruk yang disemak oleh beliau dan bank. Namun apabila suaminya tidak menghabiskan bayaran PTPTN berikutan pendapatan berkurangan selepas Covid-19, beliau menerima tempias kerana suaminya juga adalah pengarah syarikat.

Cerita mengenai sikap bank ini bukanlah baru tetapi sebagai usahawan yang berurusan dengan institusi perbankan, saya berpendapat bank-bank hari ini semakin merimaskan dan terlalu mementingkan diri.

Pernah saya bangkitkan perkara ini dengan beberapa  pengurus cawangan bank dan mereka mengakuinya. Malah ada pengurus bank yang mendakwa berasa malu dengan pelanggan mereka sendiri. Ia kerana pada dasarnya pelanggan itu layak untuk diberikan pinjaman tetapi tidak diluluskan. Ini disebabkan  sikap pengurusan tertinggi bank dan dasar mereka yang tidak mahu mengambil  risiko.

Oleh itu jika mahu ekonomi lebih baik, peranan dan fungsi bank perlu diperbetulkan segera. Bank tidak boleh bersikap seperti tempat menyimpan duit di bawah bantal zaman dahulu. Mereka sepatutnya menjadi rakan  kongsi ekonomi negara. Berkongsi risiko serta untung rugi.

Di sinilah peranan Bank Negara untuk memantau masalah bank-bank ini. Saya telah meminta semua usahawan yang saya temui menghantar surat kepada Gabenor Bank Negara agar penjelasan dapat dibuat oleh pengerusi bank-bank masing-masing bagi menjawab persoalan mengapakah pinjaman mereka ditolak.

Sampai ke satu tahap, saya minta mereka menyaman bank kerana menafikan hak mereka terutama jika mereka sendiri mempunyai akaun di bank berkenaan. Saya mempunyai mempunyai senarai bank-bank berkenaan. Semoga Bank Negara juga akan respon kepada saya. Insha-Allah, saya serahkan kes-kes berkenaan untuk tindakan Gabenor Bank Negara.

*Penulis adalah usahawan dan aktivis sosio-ekonomi.

IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB : Utusan Melayu Plus
IG: Utusan Melayu Plus
TikTok: @utusanmelayuplusofficial

Terkini

spot_imgspot_img

Related articles

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here

spot_imgspot_img