11 direman kes guna dokumen palsu tukar hak milik kenderaan

SEBANYAK 11 individu termasuk enam orang penjawat awam ditahan reman Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Perak bagi membantu siasatan berhubung dakwaan mengemukakan dokumen palsu dalam urusan pertukaran hak milik kenderaan.

Perintah reman itu dikeluarkan Majistret Norizan Riduan terhadap tujuh lelaki dan empat wanita berusia lingkungan 30 hingga 40 tahun di Mahkamah Majistret Ipoh hari ini.

SEBAHAGIAN daripada 11 individu yang direman SPRM bagi membantu siasatan menggunakan dokumen palsu bagi pertukaran hak milik kenderaan, di Mahkamah Majistret Ipoh hari ini. GAMBAR: SPRM

Majistret Norizan membenarkan permohonan SPRM untuk menahan reman kesemua individu berkenaan bermula hari ini hingga Isnin depan.

Tempoh reman itu bagi membolehkan siasatan lanjut dijalankan ke atas kesemua suspek mengikut Seksyen 18 Akta SPRM 2009.

Terdahulu, semua suspek yang dibawa menaiki kenderaan SPRM tiba di pekarangan mahkamah pada jam 9.15 pagi sebelum dibawa keluar pada jam 11 pagi.

Kesemua suspek yang terdiri daripada empat ejen dan enam anggota Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) itu ditahan kira-kira jam 10 malam tadi ketika hadir memberi keterangan di pejabat SPRM Perak.

Menurut sumber, kesemua individu yang ditahan itu disyaki berpakat mengemukakan dokumen palsu dalam urusan pertukaran hak milik kenderaan yang melibatkan 16 nombor pendaftaran kepada JPJ.

Katanya, siasatan awal mendapati perbuatan tersebut dipercayai berlaku sekitar tahun 2025, dengan ejen-ejen berkenaan disyaki berpakat dengan penjawat awam bagi mengemukakan dokumen palsu.

“Dokumen palsu itu dipercayai digunakan bagi membolehkan proses pertukaran hak milik kenderaan dilakukan secara tidak sah,” katanya.

Sementara itu, Pengarah SPRM Perak, Azizul Ahmad Sarkawi ketika dihubungi mengesahkan tangkapan berkenaan dan berkata, kes disiasat di bawah Seksyen 18 Akta SPRM 2009.

Beliau juga tidak menolak kemungkinan akan ada lagi beberapa siri tangkapan susulan.



IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB :
Utusan Melayu Plus
IG:
Utusan Melayu Plus
TikTok:
@utusanmelayuplusofficial
Threads:
@utusanmelayuplus
Whatapps Channel:
Utusan Melayu Plus


Terkini

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here