Azeez Rahim sendiri bertegas pakai baju lokap dan gari – SPRM

BEKAS Pengerusi Lembaga Tabung Haji, Datuk Seri Abdul Azeez Abdul Rahim yang didakwa di mahkamah hari ini, memilih sendiri untuk memakai pakaian lokap berwarna ungu.

Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) memaklumkan, pegawainya dan pegawai polis yang mengiringi Abdul Azeez sudah menasihati beliau untuk menukar pakaian lokap Polis Diraja Malaysia (PDRM) sewaktu hadir di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur.

Bagaimanapun, ahli politik berkenaan berkeras untuk kekal memakai pakaian lokap dan juga gari.

“SPRM ingin menjelaskan, pemakaian baju lokap ungu PDRM dan dalam keadaan bergari membabitkan Azeez ketika hadir pertuduhan di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur adalah atas kehendaknya sendiri.

“Untuk makluman, sebelum dibawa ke mahkamah, beliau sudah dinasihati pegawai SPRM serta pegawai polis yang mengiringi beliau dan juga peguamnya untuk menukar kepada pakaian biasa selain menyatakan tidak perlu memakai gari.

“Bagaimanapun, beliau berkeras untuk kekal memakai pakaian lokap dan juga gari berkenaan sehingga proses pertuduhan selesai dibacakan,” kata SPRM dalam kenyataan hari ini.

Oleh yang demikian, SPRM menegaskan, pemakaian baju lokap dan gari terhadap Azeez bukan atas arahan atau kehendak mana-mana pihak, khususnya SPRM.

“SPRM meminta semua pihak agar tidak membuat sebarang spekulasi atau menyebarkan maklumat tidak tepat khususnya yang membabitkan isu ini,” katanya.

 



IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB :
Utusan Melayu Plus
IG:
Utusan Melayu Plus
TikTok:
@utusanmelayuplusofficial
Threads:
@utusanmelayuplus
Whatapps Channel:
Utusan Melayu Plus


Terkini

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here