SEORANG pemandu lori didenda RM30,000 selepas mengaku bersalah di Mahkamah Sesyen Seremban hari ini, atas lima pertuduhan menghantar komunikasi lucah dengan niat mengganggu individu menerusi aplikasi WhatsApp pada Mac 2023.
Mohd Suhaimi Yusof, 50, membuat pengakuan itu selepas semua pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Shahrul Rizal Majid.
Mahkamah turut memerintahkan hukuman penjara 10 bulan sekiranya tertuduh gagal menjelaskan denda berkenaan.
Mengikut pertuduhan, Mohd Suhaimi didakwa membuat dan memulakan penghantaran komunikasi berupa gambar dan video bersifat lucah kepada seorang lelaki dengan niat mengganggunya.
Kesemua perbuatan itu dilakukan di sebuah premis di Bandar Universiti Teknologi Lagenda, Mantin antara 7.22 hingga 9.59 malam, 22 Mac 2023.
Berdasarkan fakta kes, seorang lelaki memaklumkan bahawa dia menerima beberapa gambar dan video lucah menerusi aplikasi WhatsApp daripada Mohd Suhaimi, yang merupakan bekas suami kepada isterinya.
Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 233(1) (a) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 (Akta 588), yang boleh dihukum di bawah Seksyen 233 (3) akta sama yang memperuntukkan denda tidak melebihi RM50,000 atau penjara maksimum setahun atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.
Kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) Mohamad Farhan Kamarudin dan Nadzirah Idris manakala tertuduh tidak diwakili peguam.
Terdahulu, dalam rayuan sebelum hukuman dijatuhkan, Mohd Suhaimi berkata dia bertindak demikian kerana mendakwa ditipu bekas isterinya.
“Saya rasa marah, mati akal dan saya lakukan tindakan itu. Saya juga hidup merempat, pernah tidur di masjid dan kawasan rehat dan rawat, saya mempunyai empat anak dengan tiga masih bersekolah dan hak penjagaan ke atas bekas isteri,” katanya.
Shahrul Rizal kemudian menasihati tertuduh supaya memikirkan terlebih dahulu setiap tindakan yang dilakukan serta kesan dan akibatnya pada masa akan datang.





