Kes pembekalan baja: SPRM fokus siasatan berkaitan tuntutan palsu

SIASATAN awal Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dalam kes pembekalan baja mendapati  syarikat yang dilantik oleh Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM), telah gagal membekalkan bahan tersebut mengikut jumlah ditetapkan.

Ketua Pesuruhjaya SPRM, Datuk Seri Abdul Halim Aman berkata, syarikat berkenaan sepatutnya membekalkan 616,015 beg, namun sehingga September 2026 hanya 333,655 beg dibekalkan, iaitu kekurangan 282,360 beg.

”SPRM memfokuskan siasatan di bawah Seksyen 18 Akta SPRM 2009 berkaitan tuntutan palsu,’’ katanya pada Sesi Wawancara Bersama Media di Putrajaya hari ini.

Abdul Halim berkata,  agensi itu turut akan menjalankan analisis kewangan terhadap akaun syarikat, merekodkan percakapan pegawai serta penerima baja di 23 PPK dan meneliti sebarang kelemahan tatakelola yang menjadi punca kelewatan pembekalan.

Katanya, SPRM Kedah membuka aduan pada 26 Ogos lalu berhubung kegagalan syarikat pembekal tersebut yang dilantik KPKM untuk membekal, menghantar dan mengedar Baja Sebatian Tambahan (Baja Padi 3) di bawah Skim Insentif Pengeluaran Padi (SIPP) di kawasan Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (MADA).

”Pembekalan itu melibatkan kawasan seluas 100,000 hektar bagi keperluan tanaman musim satu dan dua tahun ini, membabitkan 60,000 pesawah padi. KPKM melantik syarikat berkenaan untuk membekalkan 1.23 juta beg atau bersamaan 30,800 tan baja bagi tempoh dua musim dengan nilai tender RM108,615,764.80,’’ katanya.

Beliau berkata, seramai 13 saksi telah dipanggil dan dirakam percakapan, terdiri daripada seorang Pengerusi Pertubuhan Persaudaraan Pesawah Malaysia (PeSAWAH), empat pegawai MADA dan lapan kakitangan Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK).

 



IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB :
Utusan Melayu Plus
IG:
Utusan Melayu Plus
TikTok:
@utusanmelayuplusofficial
Threads:
@utusanmelayuplus
Whatapps Channel:
Utusan Melayu Plus


Terkini

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here