MEKANISME pengesahan identiti elektronik (eKYC) bagi peniaga di platform e-dagang perlu diperketat bagi membendung penggunaan akaun palsu untuk menjual dadah dan barangan terlarang dalam talian.
Presiden Persatuan Pengguna Siber Malaysia (MCCA) Siraj Jalil berkata peniaga yang mahu mengiklankan produk di platform e-dagang perlu melalui proses tapisan lebih ketat, termasuk mempunyai dokumen pendaftaran perniagaan.
Beliau berkata kerjasama lebih erat dengan Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) juga diperlukan bagi memastikan peniaga tidak boleh sewenang-wenangnya menjalankan perniagaan di platform berkenaan tanpa dokumen berkaitan.
“Kita tidak boleh lagi biarkan ada peniaga yang tidak memiliki sebarang dokumen SSM berniaga di platform e-dagang itu sewenang-wenangnya kerana ada akaun-akaun palsu digunakan untuk menjual barangan terlarang.
“Saya yakin mana-mana mereka yang nak menjual barangan terlarang ini, sudah pasti tidak akan menggunakan identiti sebenar mereka dan dadah dijual di pasaran platform digital secara terbuka walaupun menggunakan kod dan sebagainya,” katanya dalam program Malaysia Petang Ini terbitan Bernama TV hari ini.
Sebelum ini, Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) diarahkan mengambil tindakan tegas terhadap penyalahgunaan platform e-dagang yang dikesan menjual dadah sintetik, termasuk fentanil yang diadun ke dalam cecair vape.
Kementerian Komunikasi turut memanggil wakil platform e-dagang terbabit pada Isnin bagi meneliti isu berkenaan.
Siraj berkata isu penjualan dadah secara dalam talian bukan perkara baharu kerana MCCA telah membangkitkan ancaman barangan terlarang di platform e-dagang sejak empat hingga lima tahun lepas.
Beliau berkata situasi itu menunjukkan sistem pemantauan penyedia platform ketika ini masih longgar dan mempunyai kelompangan ketara yang perlu segera diatasi.
Sehubungan itu, beliau mencadangkan penguatkuasaan liabiliti korporat terhadap penyedia platform agar mereka memikul tanggungjawab penuh sekiranya berlaku aktiviti menyalahi undang-undang di platform kendalian masing-masing.
“Penyedia platform perlu lebih proaktif memantau aktiviti dalam platform masing-masing dan bekerjasama dengan pihak berkuasa termasuk Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan MCMC.
“Kita tak nak hanya soal take down, sedangkan penjual itu bebas di luar sana dan mereka yang nak membeli itu terus mencari pilihan lain serta membentuk permintaan dan penawaran terhadap barang terlarang ini,” katanya.
Dalam pada itu, Siraj turut mencadangkan penyedia platform memanfaatkan teknologi kecerdasan buatan (AI) bagi mengenal pasti kod tertentu yang digunakan sindiket untuk menyamar bagi penjualan dadah.
Beliau berkata pengedar dikesan menyamarkan urus niaga menggunakan nama samaran seperti “kucing” atau “ikan” yang hanya difahami komuniti tertentu.
“Kalau mereka ada kekuatan untuk membangunkan teknologi e-dagang itu, apalah salahnya kalau mereka mencipta satu teknologi ataupun menggunakan teknologi AI untuk mengenal pasti kod-kod yang digunakan atau kekerapan penggunaan kod itu, dikekang di peringkat lebih awal,” katanya.
Selain itu, beliau mengingatkan agar pemantauan rapi diberikan kepada generasi muda, khususnya murid sekolah yang semakin mudah terdedah kepada platform digital.
Beliau berkata sindiket dadah sentiasa mencari pasaran baharu termasuk kelompok usia lebih muda, justeru ibu bapa perlu memantau penggunaan telefon pintar serta komunikasi anak-anak menerusi aplikasi seperti WhatsApp dan Telegram.





