SEORANG lelaki warga emas berusia 66 tahun ditemukan meninggal dunia selepas sebuah rumah dua tingkat yang didiaminya terbakar di Jalan Pantai Cahaya Bulan (PCB), Kota Bharu malam ini.
Komander Operasi, Pegawai Bomba Kanan II (PBKII) Ridzuan Baharudin berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada jam 8.43 malam.
Katanya, seramai 35 anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) dari Kota Bharu, BBP Kota Darul Naim dan BBP Pengkalan Chepa bergegas ke lokasi kejadian.
“Setibanya di lokasi, pemeriksaan mendapati kebakaran melibatkan sebuah rumah dua tingkat jenis kekal dan dianggarkan 95 peratus musnah akibat kejadian itu. Terdapat seorang mangsa lelaki warga emas ditemukan meninggal dunia di dalam bilik air rumah berkenaan,” katanya.





