Anwar dijadual bertemu PM Ethiopia di New Delhi hari ini

KERJASAMA Malaysia dan Ethiopia dijangka diperkukuh menerusi pertemuan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dengan rakan sejawatnya, Dr Abiy Ahmed Ali di luar Sidang Kemuncak BRICS ke-18 di New Delhi.

Pertemuan itu diadakan ketika kerajaan berusaha meluaskan jangkauan ekonomi dan diplomatik negara ke pasaran yang sedang pesat membangun.

Tahun lalu, ketika lawatannya ke Ethiopia, Anwar memaklumkan, Malaysia mempunyai banyak perkara untuk dipelajari daripada negara Afrika itu khususnya dalam bidang hubungan antara agama dan semangat perpaduan.

Anwar merupakan Perdana Menteri Malaysia pertama yang melawat Ethiopia sepanjang tempoh hubungan diplomatik kedua-dua negara terjalin sejak 1965, sekali gus mencerminkan usaha menghidupkan semula hubungan dua hala yang agak terhad sebelum ini.

Malaysia kemudian membuka semula kedutaan di Addis Ababa pada September 2025, sekali gus memulihkan hubungan diplomatik yang ditutup pada 1983 susulan pergolakan politik di Ethiopia.

Hubungan yang kembali diperkukuh itu berlaku ketika Malaysia berusaha menggunakan kerjasama BRICS untuk memperluas hubungan perdagangan dan pelaburan melangkaui pasaran tradisional, manakala Ethiopia pula menawarkan akses kepada antara ekonomi terbesar di Afrika serta pasaran yang mempunyai lebih 100 juta penduduk.

Pertemuan Anwar dengan Abiy akan menjadi antara siri pertemuan dua hala peringkat tinggi sepanjang lawatan beliau ke New Delhi.

Selain Abiy, Anwar turut dijadualkan bertemu Perdana Menteri India, Narendra Modi; Presiden Rusia, Vladimir Putin; Presiden Iran, Dr Masoud Pezeshkian; dan Presiden Kazakhstan, Kassym-Jomart Tokayev.

Timbalan Pesuruhjaya Tinggi dan Chargé d’affaires Malaysia, Sharifah Ezneeda Wafa, memberitahu pertemuan itu sudah disahkan menjelang ketibaan Anwar hari ini.

“Mungkin ada lagi pertemuan sekiranya kedua-dua pihak dapat bersetuju mengenai masa yang sesuai,” katanya, lapor Buletin TV3.

Sharifah Ezneeda berkata, Anwar juga akan bertemu Ketua Pengarah Pertubuhan Perdagangan Dunia (WTO), Dr Ngozi Okonjo-Iweala manakala perbincangan dengan tokoh utama perniagaan India turut dirancang.

Difahamkan beberapa tokoh perniagaan terkemuka Malaysia, termasuk Tan Sri Ravindran Menon, dijangka berada di New Delhi bersempena Sidang Kemuncak BRICS, sekali gus mencerminkan peningkatan minat sektor swasta terhadap pembabitan Malaysia dalam kumpulan itu.

Kehadiran pemimpin perniagaan Malaysia membuka ruang kepada syarikat tempatan untuk membina hubungan dengan rakan niaga dari India dan negara antarabangsa lain, ketika Malaysia berusaha menterjemahkan kerjasama BRICS kepada peluang perdagangan, pelaburan dan komersial yang lebih besar.

Anwar yang juga Menteri Kewangan akan diiringi Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Datuk Seri Johari Abdul Ghani serta Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri R Ramanan.

Sidang kemuncak itu membawa tema `Membina Ketahanan, Inovasi, Kerjasama dan Kemampanan’, dengan perbincangan dijangka memberi tumpuan kepada daya tahan ekonomi, kerjasama serta pembaharuan terhadap rangka kerja perdagangan dan pelaburan.

BRICS adalah forum penyelarasan politik dan diplomatik bagi negara Global Selatan.

Ia pada asalnya dibentuk oleh Brazil, Rusia, India dan China sebelum Afrika Selatan menyertainya pada 2011.

Kumpulan itu berkembang pada 2023 dengan kemasukan Mesir, Ethiopia, Iran, Arab Saudi dan Emiriah Arab Bersatu (UAE), diikuti Indonesia pada 2024.

Malaysia, Belarus, Bolivia, Kazakhstan, Cuba, Nigeria, Thailand, Vietnam, Uganda dan Uzbekistan antara negara yang diterima sebagai negara rakan BRICS.

India mengambil alih kepengerusian BRICS buat kali keempat pada 1 Januari 2026, selepas sebelum ini memegang jawatan pengerusi secara bergilir pada 2012, 2016 dan 2021.

Tahun ini turut menandakan 20 tahun penubuhan BRICS, sekali gus memberikan kepengerusian India lebih signifikan ketika negara anggota berusaha memperkukuh peranan kumpulan itu dalam urusan ekonomi dan politik global.



IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB :
Utusan Melayu Plus
IG:
Utusan Melayu Plus
TikTok:
@utusanmelayuplusofficial
Threads:
@utusanmelayuplus
Whatapps Channel:
Utusan Melayu Plus


Terkini

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here