Pekerja maut, struktur sementara runtuh di tapak pembinaan

SEORANG pekerja maut selepas struktur sementara yang menyokong perancah runtuh di sebuah tapak pembinaan di Bukit Mertajam, baru-baru ini.

Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (JKKP) Pulau Pinang dalam kenyataan hari ini memaklumkan, pihaknya menerima makluman mengenai kemalangan maut itu yang berlaku kira-kira jam 6.15 petang pada 8 September lalu.

Menurut kenyataan itu, kejadian berlaku ketika mangsa dipercayai sedang menjalankan kerja merombak perancah di tingkat lapan bangunan di tapak pembinaan berkenaan.

Katanya, runtuhan struktur sementara yang menampung struktur perancah menyebabkan mangsa bersama struktur perancah terjatuh ke aras bawah.

“Mangsa mengalami kecederaan parah di bahagian kepala dan disahkan meninggal dunia di tempat kejadian.

“Susulan siasatan awal yang dijalankan, JKKP Pulau Pinang mengeluarkan arahan menghentikan aktiviti kerja berkaitan serta larangan kacau ganggu di kawasan kejadian bagi memastikan tempat kejadian dikekalkan dan tidak diubah atau diganggu sehingga siasatan lanjut selesai,” jelas kenyataan itu.

JKKP Pulau Pinang juga menyatakan, siasatan dijalankan di bawah Seksyen 17, Seksyen 18A dan Seksyen 18B Akta Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan 1994 [Akta 514], serta peraturan keselamatan dan kesihatan pekerjaan yang berkaitan.

Jabatan itu menegakan, pihaknya memandang serius kejadian kemalangan maut, khususnya yang membabitkan aktiviti kerja di tempat tinggi dan penggunaan perancah.

Turut dinyatakan, majikan diingatkan supaya memastikan kerja dirancang dan dilaksanakan dengan selamat melalui pentaksiran serta kawalan risiko yang berkesan, termasuk menyediakan laluan naik dan turun yang selamat serta sistem perlindungan daripada jatuh.

 



IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB :
Utusan Melayu Plus
IG:
Utusan Melayu Plus
TikTok:
@utusanmelayuplusofficial
Threads:
@utusanmelayuplus
Whatapps Channel:
Utusan Melayu Plus


Terkini

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here