Universiti Malaya (UM) mengesahkan seorang pelajarnya maut akibat cedera parah selepas dipercayai jatuh dari tingkat tiga asrama kediamannya di Kolej Ke-13, hari ini.
Dalam kenyataan, universiti itu berkata, pelajar tersebut meninggal dunia ketika menerima rawatan di Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM).
“Seluruh warga Universiti Malaya menzahirkan rasa sedih dan simpati yang mendalam kepada keluarga Allahyarham. Pihak universiti, melalui Jabatan Hal Ehwal Pelajar sedang menyalurkan bantuan serta memberikan sokongan sepenuhnya kepada keluarga Allahyarham bagi membantu mereka menghadapi saat sukar ini,” kata kenyataan itu.
UM turut memaklumkan punca kejadian masih dalam siasatan pihak berkuasa, dan pihaknya pada masa ini memberikan kerjasama penuh bagi membantu siasatan kes itu.
Universiti berkenaan dalam masa sama meminta semua pihak agar menghormati privasi keluarga pelajar terbabit serta tidak membuat sebarang spekulasi atau perkongsian maklumat yang tidak sahih berhubung insiden ini.
“Universiti Malaya turut menyeru seluruh warga kampus agar bersama-sama mendoakan kesejahteraan roh Allahyarham dan ketabahan keluarganya, ” katanya.
UNDILAH |