SEORANG pemandu lori didakwa membunuh empat individu dalam nahas membabitkan 11 kenderaan di Kilometer (KM) 110.3, Lebuhraya Pantai Timur (LPT), pada 31 Ogos lalu.
Prosiding pendakwaan terhadap Zulkarnain Md Noh, 52, dijalankan di Hospital Sultan Haji Ahmad Shah (HoSHAS), Temerloh, hari ini.
Tiada pengakuan direkodkan daripada tertuduh selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Nuur Fakhizaa Abu Bakar.
Mengikut pertuduhan, Zulkarnain didakwa membunuh Muhammad Nazatullah Nazmi, 32; isterinya, Nur Atiqah Sofiya Mohd Kazwan; anak mereka, Muhammad Armaan Nazeef, 4; serta Seow Beng Wai, 55, di KM110.3 LPT arah timur, dalam daerah Temerloh, kira-kira jam 10.30 malam.
Dia didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan (Akta 574), lapor BH.
Jika sabit kesalahan, tertuduh boleh dihukum mati atau dipenjara tidak kurang 30 tahun tetapi tidak melebihi 40 tahun.
Jika tidak dijatuhi hukuman mati, tertuduh hendaklah dikenakan sebatan tidak kurang 12 kali.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Najimi Arif Nasarudin dan Anis Syakilla Zawawi.
Mahkamah menetapkan 12 November depan untuk sebutan semula kes.





