Kehendak rakyat berubah, BN perlu tampil pemimpin bersedia – Johari

BARISAN Nasional (BN) perlu menyesuaikan pendekatan politik dengan perubahan kehendak rakyat yang kini semakin menuntut keterbukaan, tadbir urus baik dan kepimpinan tanpa dwistandard.

Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Johari Abdul Ghani berkata, perubahan kehendak rakyat mengikut zaman menuntut parti mengambil serius perkara berkenaan dan tidak lagi mengamalkan pendekatan ‘business as usual’.

Beliau berkata, rakyat hari ini menilai pemimpin berdasarkan beberapa aspek, termasuk keterbukaan, kesungguhan membangunkan negara serta sikap tidak mengamalkan dwistandard.

“Bila kita buat sesuatu benda yang kita merasakan bahawa itu adalah benda yang patut dibuat oleh semua orang, maka semua orang kena ikut cara ataupun prosedur ataupun kehendak.

“Ini merupakan salah satu daripada peringatan kepada semua kita,” katanya ketika ditemui selepas Ucapan Dasar Presiden pada Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2026 di Dewan Merdeka, Pusat Dagangan Dunia (WTC) Kuala Lumpur di ibu negara hari ini.

Johari yang juga Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri berkata, mana-mana individu yang mempunyai aspirasi untuk menjadi pemimpin perlu bersedia menghadapi penelitian rakyat, termasuk calon yang mewakili UMNO dan BN.

Menurutnya, parti perlu memastikan pemimpin yang diketengahkan bersedia untuk diteliti dan dinilai oleh rakyat.

“Kita bukan lagi macam dulu, kita boleh tangkap muat. Sekarang ini penelitian setiap daripada wakil yang mewakili parti, baik UMNO ataupun Barisan Nasional, mereka mesti meletakkan pemimpin-pemimpin yang bersedia untuk diteliti oleh mana-mana rakyat dalam negara. Itu sangat penting,” katanya.

Dalam pada itu, Johari berkata, usaha memperkukuh BN perlu terus mengambil kira kerjasama lebih akrab antara komponen parti yang membabitkan pelbagai kaum dan masyarakat.

Katanya, kekuatan BN perlu dibina menerusi kesepakatan yang lebih kukuh dengan mengekalkan identiti, budaya dan ideologi setiap parti komponen.

Beliau berkata, perkara itu penting bagi memastikan agenda BN terus terangkum dari aspek budaya, agama, bangsa dan cara hidup.

Mengenai cadangan kolaborasi agung yang pernah dibincangkan sebelum ini, Johari berkata, setakat ini belum ada perincian khusus mengenainya.

Bagaimanapun, katanya, mana-mana pihak yang mahu bergabung perlu berpegang pada prinsip asas bahawa setiap parti boleh menilai serta memahami antara satu sama lain tanpa menghilangkan budaya, ideologi dan identiti masing-masing.

 



IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB :
Utusan Melayu Plus
IG:
Utusan Melayu Plus
TikTok:
@utusanmelayuplusofficial
Threads:
@utusanmelayuplus
Whatapps Channel:
Utusan Melayu Plus


Terkini

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here