`PRN Melaka tak lama lagi… tak terlalu lama, tak terlalu singkat’ – Ab Rauf

PENGERUSI Badan Perhubungan UMNO Melaka, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh mengesahkan Dewan Undangan Negeri (DUN) Melaka dijangka dibubar dalam masa terdekat bagi memberi laluan kepada Pilihan Raya Negeri (PRN).

Ketua Menteri Melaka itu berkata, persiapan menghadapi PRN sudah dilakukan sejak dua tahun lalu dan kini hanya menunggu masa yang sesuai untuk proses pembubaran dimulakan.

“Insya-Allah (pembubaran DUN akan berlaku). Tidak lama lagi. Apabila tiba masanya, saya akan umumkan tetapi waktunya tidak terlalu lama dan tidak terlalu singkat.

“Persiapan kita sudah dibuat sejak dua tahun lalu. Kita hanya menunggu masa yang sesuai, iaitu peringkat akhir untuk melengkapkan persiapan sebelum kita memulakan proses pembubaran DUN,” katanya yang juga Pengerusi Barisan Nasional (BN) Melaka.

Ab Rauf berkata demikian ketika ditemui pemberita pada Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2026 di Pusat Dagangan Dunia (WTC) Kuala Lumpur di ibu negara hari ini.

Ditanya sama ada DUN Melaka akan dibubarkan bulan ini, Ab Rauf hanya menjawab: “insya-Allah”.

Mengenai kerjasama politik antara BN dan parti lain, Ab Rauf berkata, landskap politik Melaka berbeza berbanding negeri lain kerana kerajaan negeri dibentuk berasaskan formula BN Plus.

“Kita serahkan kepada rakyat untuk menentukan siapa rakan strategik terbaik untuk kerajaan negeri Melaka,” katanya.

Ab Rauf turut menegaskan BN akan mempertahankan semua 21 kerusi DUN dimenanginya ketika ini.

Katanya, rundingan dengan parti lain belum dimulakan dan sebarang perbincangan hanya akan diadakan selepas DUN dibubarkan.

“Kita belum memulakan rundingan kerana saya sudah tegaskan bahawa sebarang rundingan dengan mana-mana parti politik hanya akan diadakan selepas pembubaran DUN.

“Kita tidak boleh berkompromi mengenai 21 kerusi ini dengan berkongsi kerusi dengan pihak lain. Kita akan bertanding di kerusi masing-masing.

“Bagi tujuh kerusi lagi, parti yang memenanginya perlu bertanding dan mempertahankan kerusi masing-masing. Kita akan mempertahankan kerusi yang kita menangi,” katanya.

Mengulas ucapan dasar Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi, pada perhimpunan berkenaan, Ab Rauf menyifatkannya sebagai ucapan yang baik serta menggariskan hala tuju baharu parti bagi mengembalikan dominasi UMNO menjelang Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU-16).

“Ucapan Presiden hari ini baik. Ia menunjukkan hala tuju baharu UMNO untuk terus dominan menjelang PRU16.

“Sudah tentu semangat baharu ini perlu diterima semua pemimpin UMNO di peringkat akar umbi supaya kita tidak lagi menjadi parti yang sekadar mengisi angka, tidak ke mana-mana.

“UMNO mesti mengembalikan dominasi untuk memimpin kerajaan,” katanya.

Ditanya kemungkinan kerjasama antara parti ‘biru’ dan ‘hijau’, Ab Rauf berkata, sebarang keputusan rasmi berkaitan gabungan antara parti masih tertakluk arahan dan keputusan rasmi kepemimpinan tertinggi.

 



IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB :
Utusan Melayu Plus
IG:
Utusan Melayu Plus
TikTok:
@utusanmelayuplusofficial
Threads:
@utusanmelayuplus
Whatapps Channel:
Utusan Melayu Plus


Terkini

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here