Ramai hendak meminang, BN umpama anak dara rebutan – Ab Rauf

KETUA Menteri Melaka, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh menyifatkan Barisan Nasional (BN) negeri itu seumpama ‘anak dara cantik’ yang menjadi rebutan gabungan parti lain untuk bekerjasama dalam menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) tidak lama lagi.

Pengerusi BN negeri itu berkata, ramai pihak tampil menyatakan hasrat untuk ‘meminang’ BN dalam tempoh terdekat bagi membolehkan gabungan itu ‘berkahwin secara sah’.

“Memanglah, kita ini anak dara yang cantik, jadi ramai yang nak meminang. Kena tunggulah.

“Jadi pastinya saya sebagai ‘ketua dalam keluarga’ ini akan memilih siapa yang memberikan hantaran mas kahwin yang terbaik untuk menjadi menantu saya,” katanya ketika ditemui hari ini, lapor BH.

Perikatan Nasional (PN) dan Pakatan Harapan (PH) sebelum ini dilaporkan akan berunding dengan BN bagi menghadapi PRN Melaka.

Ia susulan pendirian Ab Rauf yang membuka pintu rundingan dengan mana-mana pihak menerusi formula ‘BN Plus’, namun menegaskan rundingan tidak semestinya berakhir dengan perjanjian atau persetujuan.

Dalam pada itu, beliau berkata, sehingga kini masih belum ada mana-mana parti politik atau gabungan parti berunding mengenai kerjasama dalam PRN.

Bagaimanapun, beliau menegaskan BN Melaka sentiasa terbuka untuk berunding.

“Walaupun kita berbincang, tidak semestinya kita akan dapat satu titik persamaan dalam menuju hala tuju politik negeri ini.

“Kita terbuka kepada mana-mana pihak untuk berbincang, asalkan kedua-dua pihak dapat bersama-sama melihat hala tuju yang terbaik,” katanya.

Katanya, sebarang bentuk asas perundingan kelak mesti berpaksi kepada keutamaan BN untuk mempertahankan 21 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) yang dimenangi pada PRN ke-15 lalu.

 



IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB :
Utusan Melayu Plus
IG:
Utusan Melayu Plus
TikTok:
@utusanmelayuplusofficial
Threads:
@utusanmelayuplus
Whatapps Channel:
Utusan Melayu Plus


Terkini

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here