Pegawai SPRM di agensi luar perlu jadi ‘radar’ kesan risiko rasuah

PEGAWAI Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) yang ditempatkan di agensi luar perlu menjadi benteng hadapan dalam membudayakan antirasuah serta memperkukuh ekosistem tadbir urus berintegriti.

Ketua Pesuruhjaya SPRM, Datuk Seri Abd Halim Aman berkata, pegawai berkenaan perlu berperanan sebagai ‘mata dan telinga’ SPRM dalam mengesan risiko serta petunjuk awal berkaitan rasuah, salah guna kuasa dan ketirisan.

Beliau berkata, peranan itu bukan sekadar difahami dalam kerangka undang-undang, sebaliknya memerlukan kepekaan profesional dalam menilai maklumat sebelum tindakan diambil menerusi saluran yang ditetapkan.

“Pegawai perlu peka terhadap maklumat, aduan, kebimbangan dan persepsi organisasi termasuk memahami perkara tersirat,” katanya ketika mempengerusikan Mesyuarat Pengurusan Tertinggi SPRM Bersama Pegawai Yang Ditempatkan Ke Agensi Luar (MPSAL) Siri 38 Bil. 2 Tahun 2026 di Dewan Serbaguna ibu pejabat SPRM di Putrajaya hari ini.

Menurut Abd Halim, pendekatan itu merupakan strategi pencegahan rasuah secara sistemik dan proaktif bagi memperkukuh budaya integriti dalam perkhidmatan awam serta syarikat berkepentingan kerajaan.

Dalam masa sama, beliau mengingatkan pegawai supaya berpegang kepada lima prinsip utama kepimpinan SPRM iaitu integriti tanpa kompromi, penguatkuasaan yang adil, pencegahan lebih baik daripada hukuman, teknologi dan ketelusan serta membina kepercayaan rakyat.

“Jangan sesekali menerima arahan pihak luar. Jangan khuatir atau takut, segera laporkan,” tegasnya.

Sehingga 31 Ogos lalu, seramai 96 pegawai SPRM ditempatkan di Unit Integriti (UI) dan Unit Integriti dan Governans (IGU) di pelbagai kementerian, badan berkanun serta Syarikat Berkepentingan Kerajaan (SBK).

Selain itu, empat pegawai bertugas di Pusat Pencegahan Jenayah Kewangan Nasional (NFCC), manakala seorang lagi ditempatkan di Suruhanjaya Bebas Tatakelakuan Polis (IPCC).

Abd Halim berkata, peningkatan permintaan penempatan pegawai SPRM di agensi luar menunjukkan keyakinan Kerajaan, pengurusan tertinggi badan berkanun dan SBK terhadap peranan SPRM dalam memantapkan tatakelola organisasi.

Katanya, keberkesanan penempatan pegawai SPRM di agensi luar bukan diukur berdasarkan jumlah tindakan penguatkuasaan semata-mata, sebaliknya melalui keupayaan mengenal pasti kelemahan lebih awal, memastikan tindakan diambil secara adil, melindungi wang awam serta meningkatkan keyakinan rakyat terhadap institusi.

“Kejayaan pegawai SPRM di agensi luar diukur apabila kelemahan agensi dikenal pasti lebih awal, tindakan diambil dengan adil, wang awam dilindungi dan keyakinan rakyat terhadap institusi diperkukuh,” katanya.

Mesyuarat MPSAL Siri 38 Bil. 2 Tahun 2026 itu dihadiri 115 peserta, termasuk pegawai SPRM yang ditempatkan di UI dan IGU di kementerian, badan berkanun serta SBK di seluruh negara.

Yang turut hadir, Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Pencegahan) SPRM, Datuk Azmi Kamaruzaman serta pengarah-pengarah kanan dan pengarah-pengarah bahagian SPRM.

 



IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB :
Utusan Melayu Plus
IG:
Utusan Melayu Plus
TikTok:
@utusanmelayuplusofficial
Threads:
@utusanmelayuplus
Whatapps Channel:
Utusan Melayu Plus


Terkini

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here